fb fb fb fb fb

Teknologi digital bantu pemahaman dan penerokaan sejarah

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Perkembangan teknologi digital telah membawa pelbagai pembaharuan kepada kehidupan pada hari ini. Teknologi membawa impak yang sangat signifikan dan salah satunya, ia membantu masyarakat memahami dan meneroka sejarah dengan lebih mudah.

Jika dahulu, orang ramai mempelajari sejarah melalui pembacaan buku teks, pameran fizikal di muzium, sesi ceramah dan sebagainya, kini teknologi digital menawarkan pendekatan lebih interaktif dan menarik.

Malaysia turut mengambil langkah ke hadapan dalam memperkenalkan pelbagai kaedah baharu bagi membantu rakyat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.

Muzium Kota Kuala Kedah misalnya, telah beralih kepada teknologi digital sebagai kemudahan kepada pengunjung mendapatkan gambaran sebenar peristiwa penting yang berlaku di kawasan berkenaan.

Dengan menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR), pengunjung ke muzium tersebut boleh melihat dengan lebih terperinci tentang peristiwa bersejarah yang berlaku di kawasan berkenaan.

Selain AR, teknologi seperti realiti maya (VR), aplikasi mudah alih, kod QR, video interaktif dan alam meta atau metaverse semakin meluas digunakan bagi membantu orang ramai memahami dan meneroka sesuatu sejarah.

Pendekatan ini telah memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati warisan sejarah negara melalui pengalaman lebih interaktif dan menyeronokkan.

Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, semakin banyak muzium yang beralih kepada teknologi digital bagi memudahkan pengguna menikmati pameran, bahan artifak dan lain-lain secara maya.

Teknologi menjadikan penghayatan sejarah bukan lagi melalui teks panjang atau pameran kaku tetapi telah berubah menjadi satu pengalaman interaktif lebih menarik kepada semua generasi.

Ia menjadikan pembelajaran sejarah dalam bentuk visual dan mudah dibayangkan. Sebagai contoh, melalui paparan 3D, video interaktif dan simulasi maya dapat membantu pengguna memahami peristiwa sejarah dengan lebih jelas.

Teknologi juga mampu menarik minat generasi muda yang lebih biasa dengan kandungan digital, sekali gus menjadikan sejarah tidak lagi dianggap membosankan.

Selain itu, teknologi memberi peluang kepada masyarakat yang tinggal jauh, warga emas atau individu berkeperluan khas untuk mengakses maklumat sejarah dari rumah tanpa perlu melawat muzium secara fizikal.

Inovasi digital seperti muzium maya turut membantu memelihara artifak yang sensitif daripada kerosakan, kerana salinan digital dapat dikekalkan dengan lebih selamat dan mudah diakses.

Semua kelebihan ini menunjukkan bahawa teknologi bukan sahaja menambah baik cara sejarah dipelajari, tetapi juga memastikan warisan negara dapat dinikmati dengan lebih luas dan inklusif

Teknologi Realiti Maya (AR) untuk Muzium

Salah satu teknologi digital popular yang diguna untuk meningkatkan pembelajaran sejarah adalah teknologi VR. Melaluinya, pengguna boleh melawat muzium secara dalam talian tanpa perlu mengunjungi premis secara fizikal.

Bahan pameran muzium berkaitan sejarah boleh disampaikan kepada rakyat secara jelas dan tersusun menggunakan VR menjadikan sejarah lebih inklusif dan mudah diakses oleh mereka.

Kriteria paling menonjol bagi teknologi ini adalah ia membolehkan muzium dilawati oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses Internet dan peranti pintar.

Kemudahan VR ini hanya perlu dipaparkan di laman web rasmi muzium dan ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa yang dapat meningkatkan lagi akses kepada sejarah negara.

Paling utama, teknologi VR dapat membantu muzium melestarikan warisan atau artifak sejarah yang rapuh atau sensitif.

Artifak yang sukar dipamerkan kerana keadaan fizikal boleh dipaparkan secara digital tanpa ada risiko kerosakan kepada bahan pameran tersebut. Dengan cara ini, nilai sejarah dapat dikekalkan untuk warisan generasi akan datang.

Kelebihan Teknologi Realiti Terimbuh (AR) di Muzium

Penggunaan teknologi AR yang dimanfaatkan oleh muzium mampu memperkaya pengalaman pengunjung. Ini kerana, AR membolehkan artifak dipamerkan secara 3D dan boleh diakses menggunakan gajet pintar.

Apabila kamera telefon dihalakan ke arah artifak tertentu, paparan 3D akan muncul dan memberi info yang lebih terperinci. Maklumat tambahan turut disediakan dalam bentuk teks atau audio bagi memberi pemahaman yang lebih mendalam.

Kaedah ini sangat membantu mereka yang belajar secara visual. Dengan melihat objek sejarah dalam bentuk digital yang lebih realistik, pengunjung lebih mudah memahami fungsi, bentuk asal atau kegunaan artifak tersebut pada zaman dahulu.

Sebagai contoh, senjata lama, perhiasan atau struktur bangunan mini akan kelihatan jauh lebih jelas melalui paparan 3D berbanding sekadar melihatnya dari jauh di dalam kotak kaca.

Bagi kanak-kanak dan remaja, pendekatan ini menjadikan lawatan muzium sesuatu yang lebih menyeronokkan dan tidak membosankan.

Tarikan Teknologi Media Digital dan Permainan Sejarah

Penggunaan permainan digital, aplikasi pendidikan dan video interaktif turut menjadi pilihan untuk menyampaikan sejarah secara lebih santai tetapi berkesan.

Terdapat aplikasi yang berkonsepkan permainan seperti pencarian harta karun, di mana pengguna perlu menyelesaikan petunjuk berkaitan sejarah untuk mara ke peringkat seterusnya.

Kaedah gamifikasi ini bukan sahaja menarik minat kanak-kanak, malah membantu mereka mengingat fakta sejarah dengan lebih baik kerana ia dikaitkan dengan aktiviti berinteraksi.

Video pendek di platform seperti YouTube, TikTok atau laman web rasmi muzium juga memberi sumbangan besar dalam menyebarkan maklumat sejarah.

Dokumentari ringkas, animasi sejarah, wawancara pakar dan cerita rakyat yang dipersembahkan dalam bentuk visual mampu menarik minat pembaca daripada pelbagai peringkat umur.

Semasa pandemik COVID-19, ketika muzium ditutup, video dan platform digital yang menjadi penghubung utama masyarakat dengan sejarah warisan negara.

Kepentingan Teknologi Alam Meta untuk Sejarah

Selain itu, teknologi alam meta atau metaverse semakin penting untuk membantu mengembangkan bidang sejarah.

Teknologi ini mampu menawarkan pengalaman kepada pengguna yang lebih mendalam, realistik dan interaktif kerana ia dapat membina persekitaran digital 3D yang lebih realistik dan berkualiti tinggi.

Ini termasuk model bangunan lama, suasana zaman silam dan objek sejarah yang direka dengan tepat berdasarkan kajian sebenar.

Perincian grafik yang baik membantu pelajar merasai seolah-olah mereka berada di zaman lampau, seperti dalam istana Kesultanan Melayu Melaka, kota pelabuhan Srivijaya atau medan sejarah lain.

Selain itu, keseluruhan pengalaman alam meta perlu direka dengan unsur pedagogi yang kukuh, bukan sekadar hiburan visual. Aktiviti yang disusun harus membantu masyarakat memahami konteks sejarah, mengaitkan fakta, membuat analisis dan berfikir secara kritikal.

Sebagai contoh, pelajar bukan sekadar "melawat" kota Melaka, tetapi perlu menyelesaikan tugasan seperti mengenal pasti strategi perdagangan, memahami sistem pemerintahan atau meneliti sebab kejatuhan empayar.

Secara keseluruhannya, teknologi alam meta atau metaverse ini mempunyai potensi besar untuk menjadikan sejarah lebih hidup dan dekat dengan jiwa masyarakat.

Namun, kejayaannya bergantung kepada gabungan grafik yang tepat, peralatan yang sesuai, fakta yang sahih dan akses Internet untuk menjadi platform pembelajaran sejarah yang menarik, mendalam dan berkesan.

Cabaran Teknologi Dalam Pembelajaran Sejarah

Walaupun teknologi memberikan banyak manfaat dalam memperkenalkan sejarah kepada masyarakat, terdapat beberapa cabaran penting yang perlu dipertimbangkan. Antaranya ialah isu jurang digital apabila pengguna mempunyai akses berbeza kepada peranti pintar atau akses Internet.

Keadaan ini menyebabkan tidak semua golongan masyarakat dapat menikmati sepenuhnya pengalaman digital yang disediakan oleh muzium atau platform sejarah.

Selain itu, penggunaan teknologi yang meluas juga menimbulkan risiko penyebaran maklumat yang tidak tepat sekiranya kandungan digital tidak disemak oleh pakar sejarah. Ini boleh menyebabkan salah tafsir dan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Tambahan pula, pembangunan dan penyenggaraan teknologi seperti aplikasi, sistem imbasan QR atau paparan maya memerlukan kos dan tenaga kerja yang berterusan. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi beban kepada institusi muzium atau pengurusan tapak sejarah.

Di samping itu, terdapat kebimbangan bahawa penggunaan visual yang terlalu menarik atau elemen hiburan yang berlebihan boleh mengalihkan perhatian pengguna daripada maklumat sejarah sebenar.

Oleh itu, penggunaan teknologi dalam pembelajaran sejarah perlu dilaksanakan secara seimbang, tepat dan inklusif agar matlamat utama iaitu memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap warisan negara dapat dicapai tanpa menjejaskan unsur ilmiahnya.

Rumusan

Secara keseluruhannya, penerokaan sejarah menjadi jauh lebih menarik apabila teknologi moden diterapkan dalam pengalaman pembelajaran.

Teknologi seperti AR, VR, alam meta serta permainan digital dan video interaktif bukan sahaja menjadikan sejarah tampak hidup, malah membantu masyarakat membayangkan suasana, budaya dan peristiwa lama dengan cara yang lebih baik.

Teknologi mengubah sejarah daripada sesuatu yang statik kepada pengalaman yang penuh warna dan lebih mudah difahami oleh setiap generasi.

Namun begitu, dalam keghairahan memanfaatkan teknologi, aspek etika dan ketepatan fakta tidak boleh diketepikan. Kandungan yang disampaikan mesti disemak, diteliti dan dipastikan selari dengan sumber sejarah sebenar agar nilai warisan negara tidak terpesong.

Teknologi harus menjadi alat untuk memperkayakan sejarah bukan mengubahnya. Dengan gabungan inovasi dan tanggungjawab moral ini, masyarakat dapat memastikan bahawa sejarah negara bukan sahaja kekal menarik dan relevan, tetapi juga tepat, bermakna dan dihormati oleh generasi akan datang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NADIA DIYANA MOHD MUHAIYUDDIN
Dr. Nadia Diyana Mohd Muhaiyuddin
Pensyarah Kanan Program Multimedia
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI