fb fb fb fb fb

Dana Kekayaan Berdaulat Sabah: Amanah yang wajib ditegakkan demi rakyat

Jambatan Tamparuli baharu untuk laluan kenderaan semasa tinjauan pada 19 November 2025/Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Sabah berada pada titik perubahan terbesar dalam sejarah ekonominya. Untuk pertama kalinya negeri ini berpeluang mengurus kekayaan sendiri melalui sebuah Dana Kekayaan Berdaulat (Sovereign Wealth Fund) sebuah instrumen strategik yang mampu mengubah wajah pembangunan negeri dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Di saat ini, persoalannya bukan sekadar perlu atau tidak, tetapi berani atau tidak Sabah menubuhkan sebuah dana yang telus, profesional dan bebas daripada permainan politik. Rakyat Malaysia khususnya Sabah perlu memahami bahawa inilah peluang paling besar bagi Sabah untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan dan ketidakstabilan ekonomi yang membelenggu negeri sejak berpuluh tahun.

Namun, penubuhan dana ini bukan sekadar soal teknikal ekonomi. Ia adalah soal prinsip, integriti dan amanah kepada rakyat. Selama ini, hasil negeri yang besar terhasil daripada minyak, gas, balak dan sumber asli, tidak memberikan pulangan yang setimpal kepada rakyat. Dana berdaulat bukan hanya mekanisme kewangan, tetapi alat pemulihan maruah sosioekonomi Sabah.

Ia membawa mesej jelas bahawa era kehilangan kekayaan negeri melalui ketirisan dan kepentingan sempit perlu dihentikan. Dengan kata lain, dana ini ialah janji baharu kepada rakyat Sabah bahawa kekayaan negeri akhirnya kembali ke tangan mereka yang berhak.

Lebih penting, dana berdaulat memberi Sabah peluang untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang menunjukkan kepimpinan sebenar dalam pengurusan kekayaan awam. Jika dilaksanakan dengan profesional, ia bukan sahaja memulihkan keyakinan rakyat, tetapi menjadikan Sabah model nasional untuk tadbir urus fiskal yang stabil, bebas dan berwawasan.

Dalam dunia baharu yang kompetitif, masa depan Sabah tidak boleh lagi bergantung kepada pergantungan pada kerajaan persekutuan atau pergolakan politik dalaman. Masa depan Sabah perlu dibina dengan disiplin ekonomi dan amanah rakyat sebagai asas utama.

Kunci Masa Depan Sabah

Penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sabah adalah langkah penting untuk memastikan kekayaan negeri tidak lagi hilang dalam kitaran perbelanjaan jangka pendek dan percaturan politik wang ahli politik Sabah. Dana ini harus bertindak sebagai tabung simpanan jangka panjang yang memberi Sabah kekuatan fiskal yang lebih kukuh.

Dengan struktur yang betul, dana mampu menyokong pembiayaan projek strategik seperti pelabuhan, rangkaian tenaga, pendidikan tinggi, teknologi digital dan infrastruktur asas. Setiap pelaburan bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi memperkukuh daya saing Sabah di Asia Tenggara.

Selain itu, dana berdaulat memberi ruang kepada Sabah untuk mengurus hasil negeri secara lebih mandiri. Dengan memanfaatkan pendapatan daripada sumber asli seperti minyak, gas dan hasil hutan, Sabah boleh membina simpanan yang berterusan dan stabil.

Ini mengurangkan pergantungan kepada peruntukan persekutuan, membolehkan negeri membuat keputusan ekonomi secara lebih bebas. Autonomi kewangan adalah langkah penting untuk mencapai pembangunan sebenar yang telah lama diidam-idamkan rakyat.

Lebih jelas lagi, Dana Kekayaan Berdaulat Sabah menjadi simbol kematangan pengurusan negeri. Melalui dana ini, Sabah menghantar mesej bahawa ia bersedia mengurus kekayaan dengan prinsip profesionalisme. Sebuah negeri tidak akan maju tanpa disiplin fiskal. Sabah akhirnya berpeluang mengubah naratifnya, daripada negeri kaya sumber tetapi miskin rakyat, kepada negeri yang kaya sumber dan kaya rakyat.

Landasan Pendapatan Dana

Dana berdaulat memberikan platform untuk memperkukuh suara Sabah dalam menuntut hak hasil negeri berdasarkan undang-undang dan perjanjian. Dengan asas undang-undang yang kukuh, Sabah bukan sahaja menuntut hak, tetapi menguruskannya secara berkesan untuk generasi masa depan.

Pendapatan daripada royalti minyak, hasil hutan, tanah dan mineral boleh disalurkan terus ke dalam dana. Ini mewujudkan aliran tunai stabil dan berkekalan. Dana yang kukuh dapat ditumpukan kepada pelaburan strategik tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negeri.

Dengan strategi pelaburan yang teliti, keuntungan yang dihasilkan bukan sahaja mengukuhkan dana, tetapi menambah hasil negeri yang boleh digunakan semula untuk pembangunan rakyat.

Di samping itu, pemerkasaan MA63 melalui dana berdaulat memberi Sabah kekuatan moral dan legitimasi dalam rundingan antara negeri dan persekutuan. Sabah tidak perlu lagi bergantung kepada simpati politik.

Sebaliknya, negeri tampil sebagai entiti berdaulat dalam pengurusan ekonominya. Dengan pendekatan ini, rakyat Sabah dapat melihat kekayaan negeri dimanfaatkan secara sistematik, bukan hilang dalam sistem yang tidak telus.

Menghindar Campur Tangan Politik

Cabaran terbesar Sabah bukan ketiadaan kekayaan, tetapi ketidakstabilan politik dan tatakelola yang sering terdedah kepada ketirisan. Untuk itu, Dana Kekayaan Berdaulat Sabah mesti ditadbir secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik.

Akta khas perlu digubal untuk memastikan dana ini dilindungi oleh undang-undang, dengan struktur yang menghalang ahli politik daripada mencampuri urusan pelaburan atau aset dana. Pemisahan kuasa adalah asas kepada keberkesanan dana.

Pengurusan dana perlu diserahkan kepada pakar kewangan bertaraf antarabangsa, bukan lantikan politik. Jawatankuasa bebas harus dibentuk untuk memantau prestasi, audit tahunan dan laporan awam wajib diterbitkan secara berkala.

Ketelusan bukan pilihan tapi syarat wajib ke arah tadbir urus yang baik. Rakyat Sabah berhak tahu ke mana wang negeri disalurkan, berapa pulangannya, dan siapa yang bertanggungjawab ke atas setiap keputusan.

Ini penting kerana corak politik di Sabah berbeza dengan negeri lain kerana sering berlaku pertukaran kerajaan, perebutan kuasa, lompat parti dan amalan patronage. Tanpa sistem yang kukuh, dana berpotensi menjadi mangsa politik.

Namun dengan rangka undang-undang yang tegas, Sabah mampu memastikan dana ini kekal stabil, profesional dan bebas daripada kepentingan sempit. Ia menjadi mercu tanda baharu dalam integriti negeri.

Model Dana Berdaulat Dunia

Model negara seperti Norway melalui Norwegian Sovereign Wealth Fund membuktikan bahawa dana berdaulat boleh berkembang pesat dengan disiplin pelaburan jangka panjang.

Mereka tidak mengejar keuntungan cepat, tetapi memfokus kepada pelaburan berisiko rendah yang memberi pulangan stabil. Sabah boleh meniru strategi ini dengan menyesuaikan kepada keperluan negeri, termasuk pasaran tenaga, logistik, infrastruktur dan teknologi hijau.

Lebih daripada itu, dana berdaulat antarabangsa menunjukkan bahawa kestabilan institusi adalah faktor paling penting. Walaupun kerajaan berubah, dana tetap beroperasi tanpa gangguan kerana perlindungan undang-undang. Inilah prinsip yang perlu ditanam dalam Dana Kekayaan Berdaulat Sabah.

Kejayaan bukan bergantung pada siapa memerintah, tetapi siapa mengurus. Ini memutuskan budaya bergantung kepada politik dan menggantikannya dengan budaya profesionalisme.

Dengan mengambil pembelajaran daripada model luar, Sabah dapat mencipta versi sendiri: sebuah dana yang tidak besar pada awalnya, tetapi stabil, strategik dan mampan. Dana ini bukan sahaja alat ekonomi, tetapi simbol keupayaan Sabah untuk berdiri sendiri dengan keyakinan dan integriti.

Kekayaan Kembali ke Rakyat Sabah

Dana berdaulat tidak akan bermakna jika rakyat tidak menerima manfaatnya. Oleh itu keuntungan dana perlu diagihkan secara teratur untuk dua tujuan utama iaitu simpan jangka panjang dan pelaburan strategik negeri. Struktur pengeluaran minimum perlu diwujudkan supaya dana tidak dihabiskan sesuka hati. Prinsip dana ialah “gandakan dahulu, guna kemudian.”

Pelaburan strategik mesti menjurus kepada projek yang memberi impak langsung seperti pendidikan berkualiti, hospital moden, pembinaan infrastruktur luar bandar, internet kelajuan tinggi serta pembangunan peluang pekerjaan. Hasil dana perlu kembali kepada rakyat Sabah dalam bentuk kesejahteraan sosial dan peningkatan taraf hidup. Lebih banyak dana berkembang, lebih banyak manfaat yang diterima rakyat.

Di samping itu, pengagihan ini menjadi manifestasi bahawa Sabah benar-benar mengurus hasil negeri dengan tanggungjawab. Ia memulangkan kekayaan kepada pemilik sebenar iaitu rakyat Sabah, bukan golongan kecil berkepentingan. Dana ini menjadi bukti bahawa Sabah mampu mentadbir dengan amanah, disiplin dan nilai integriti.

Sokongan Politik Bipartisan

Sokongan pemimpin seperti YB Mustafa Sakmud (PKR) dan YB Armizan Mohd Ali (GRS) menunjukkan kesediaan politik Sabah untuk bekerjasama merentasi parti demi kepentingan negeri. Dalam konteks Sabah yang sering berdepan pergolakan politik, sokongan dua blok politik ini adalah langkah penting ke arah kestabilan dasar. Ia memberikan keyakinan bahawa dana ini boleh dibina tanpa gangguan politik.

Sokongan bipartisan mengurangkan risiko campur tangan politik dalam pengurusan dana. Ia menghantar mesej tegas bahawa dana ini bukan milik parti, tetapi milik rakyat dan negeri. Ini juga memberi keyakinan kepada pelabur luar bahawa Sabah serius dalam melaksanakan pembaharuan institusi.

Dengan kekuatan politik bersama, Dana Kekayaan Berdaulat Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan stabil. Ia menjadi projek perpaduan negeri yang memfokuskan kesejahteraan rakyat dan masa depan Sabah, bukan perbezaan politik.

Pemulihan Integriti Sabah

Dana Kekayaan Berdaulat Sabah bukan sekadar polisi ekonomi tetapi lebih dari itu merupakan ujian moral terhadap integriti kepimpinan negeri. Sabah selama ini terpalit dengan rekod pengurusan hasil awam yang pernah sarat ketirisan. Justeru, dana ini merupakan peluang untuk memulihkan maruah negeri dan membuktikan bahawa rakyat Sabah layak menerima pengurusan aset yang jujur dan berprinsip.

Rakyat menuntut dana ini dipagari dengan undang-undang, diaudit secara bebas dan dikendalikan oleh profesional yang bertanggungjawab. Dana ini mesti menjadi simbol perubahan budaya politik Sabah, daripada budaya ketidakstabilan kepada budaya amanah dan integriti. Kekayaan negeri tidak boleh lagi dibiarkan hilang. Ia perlu dipelihara untuk masa depan, bukan dimusnahkan demi keuntungan segelintir pihak.

Akhirnya, dana ini membawa misi besar iaitu mengembalikan kekayaan Sabah kepada rakyat Sabah. Segala hasil yang dikutip, segala keuntungan yang dijana, dan segala pelaburan yang dibuat mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat. Jika dana ini dilaksanakan dengan betul, ia bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi warisan berharga untuk generasi Sabah seterusnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MOHD AMIM OTHMAN
Dr. Mohd. Amim Othman
Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna,
Fakulti Ekologi Manusia, UPM
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI