fb fb fb fb fb

Dari kampus ke komuniti: Memperkasa masyarakat melalui USR dan KTP

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM)/Arkib BERNAMA

PEMERKASAAN komuniti bukan sekadar slogan yang indah didengar, tetapi merupakan usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kepakaran, dan strategi berkesan.

Secara amnya, University Social Responsibility (USR) dan Knowledge Transfer Program (KTP) merupakan inisiatif oleh institusi pendidikan tinggi yang merujuk kepada komitmen sesebuah universiti untuk melaksanakan aktiviti, program, dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, melangkaui fungsi tradisional pengajaran dan penyelidikan.

USR menekankan penglibatan aktif universiti dalam menyelesaikan masalah sebenar komuniti melalui kepakaran akademik dan penyelidikan, memindahkan ilmu, kemahiran, dan teknologi kepada masyarakat dan memperkasa komuniti dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, dan alam sekitar.

Pemindahan ilmu pula merangkumi pelbagai bentuk, termasuk latihan teknikal, pembangunan keusahawanan, inovasi produk, dan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing.

USR dan KTP juga mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk pembangunan mampan. Dengan kata lain, USR dan KTP ialah usaha universiti untuk menjadi ejen perubahan sosial dan pembangunan komuniti secara berterusan dan bertanggungjawab.

Berdasarkan Laporan Statistik Kemiskinan Nasional sehingga 30 Jun 2025, Kelantan merekodkan jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, dengan 349 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong dalam kategori miskin tegar dan 58,995 KIR dalam kategori miskin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 59,344 KIR.

Keadaan ini mencerminkan cabaran sosioekonomi yang serius, khususnya di kawasan luar bandar yang mendominasi demografi negeri, di mana ramai isi rumah masih berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM1,198 bagi miskin tegar dan RM2,589 bagi miskin.

Justeru, pelaksanaan program berimpak tinggi seperti Universiti untuk Masyarakat (USR) dan Knowledge Transfer Program (KTP) menjadi amat relevan sebagai intervensi strategik, bukan sahaja untuk memberikan bantuan segera, tetapi juga untuk membangunkan kapasiti, memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan akses pendidikan, serta memperkasa ekonomi komuniti setempat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dan memperkukuh daya saing negeri.

Dalam konteks ini, universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengajian tinggi, malah sebagai rakan strategik yang membantu membangunkan komuniti. Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya UiTM Cawangan Kelantan, telah lama mengorak langkah melalui pelaksanaan USR dan KTP bagi memindahkan kepakaran, teknologi dan inovasi terus kepada masyarakat.

Sejak beberapa tahun yang lalu, UiTM Cawangan Kelantan telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat, merangkumi program pembangunan kemahiran, pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesedaran kesihatan, seni dan kelestarian alam sekitar.

Usaha-usaha ini bukan sahaja memperkenalkan pendekatan yang lebih inovatif dan efisien, malah turut memperkukuh penjenamaan institusi, memperluas jaringan kerjasama, serta membuka peluang pasaran dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Berdasarkan hala tuju dan aspirasi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pendidikan tinggi di Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga menjadi tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif, selaras dengan nilai Malaysia MADANI.

Komitmen ini turut ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang menegaskan bahawa universiti perlu mewujudkan persekitaran inklusif di mana masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat belajar bersama dan saling berkongsi ilmu melalui dasar dan kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi, dan saling menghormati.

“Pendidikan tinggi bukan sahaja pemacu ekonomi, tetapi juga tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif,” ujar beliau dalam mendukung hala tuju RMK13 berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Antara kesan positif yang dapat dilihat daripada pendekatan ini termasuk peningkatan taraf hidup peserta, pengurangan jurang kemahiran antara bandar dan luar bandar, pemeliharaan warisan budaya tempatan melalui inovasi, serta pengukuhan ekonomi setempat.

Namun, bagi memastikan kesinambungan, cadangan seperti memperluas kerjasama industri, menyediakan platform pemasaran digital khusus untuk produk komuniti, dan mewujudkan pusat inovasi setempat yang diurus bersama universiti dan komuniti perlu dipertimbangkan.

Jelaslah bahawa pemerkasaan komuniti melalui USR dan pemindahan ilmu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial universiti, tetapi juga melakar perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat. Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM berpotensi terus menjadi peneraju dalam membina komuniti yang berdaya saing, inovatif dan lestari, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan semua lapisan rakyat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. WAN NORASWANIATY WAN AHMAD
Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad
Koordinator ICAN/Pensyarah Kanan
UiTM Cawangan Kelantan

DR. SITI ROSNITA SAKARJI
Dr. Siti Rosnita Sakarji
Penyelaras Unit Jaringan Komuniti/Pensyarah Kanan
UiTM Cawangan Kelantan

MAT YUNUS BIN SABRI