SAUDARA PENGARANG
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita semakin kerap berdepan ribut tropika, hujan lebat luar jangka dan banjir kilat yang menjejaskan ribuan keluarga di seluruh Malaysia. Walaupun teknologi ramalan cuaca semakin maju, satu perkara tetap tidak berubah iaitu keberkesanan amaran awal bergantung kepada sejauh mana ia difahami, dipercayai dan diambil tindakan oleh masyarakat.
Di sinilah peranan liputan media rasmi menjadi benteng utama yang menentukan sama ada amaran itu menyelamatkan nyawa atau sekadar berlalu sebagai berita harian. Dalam konteks Malaysia, televisyen masih menjadi medium paling dipercayai dan berkesan untuk menyampaikan amaran cuaca, terutama dalam kalangan belia dan keluarga muda.
Kajian menunjukkan bahawa amaran ribut dan banjir melalui siaran TV serta SMS mampu menggerakkan tindak balas segera seperti berpindah awal ke pusat pemindahan hinggalah menyelamatkan dokumen penting dan aset rumah (Alias et al., 2019; Zaki et al., 2019).
Namun, sebagaimana yang sering terjadi dalam situasi kecemasan, maklumat yang disebarkan sesama komuniti kadang kala sampai lebih cepat daripada amaran rasmi, membuktikan bahawa komunikasi akar umbi dan liputan rasmi saling melengkapi.
Insiden terbaharu semalam (27 November 2025) menjadi contoh nyata. Kira-kira pukul 5.00 pagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tampil mengeluarkan kenyataan amaran ribut tropika dengan bahasa yang tegas, ringkas dan mudah difahami.
Melalui TV dan platform rasmi, maklumat tentang masa jangkaan ribut, lokasi yang bakal terjejas dan langkah berjaga-jaga disampaikan secara jelas pada saat ramai rakyat masih lena atau baru bangun tidur. Ketepatan waktu amaran itu, disiarkan serentak oleh media rasmi, memberi ruang kepada masyarakat untuk bersiap lebih awal dan mengurangkan risiko panik.
Namun seperti juga dalam isu-isu sosial yang menyentuh keselamatan awam, keberkesanan amaran awal banyak bergantung pada kejelasan dan konsistensinya. Amaran yang terlalu teknikal, lambat atau dianggap keterlaluan boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai (Morss et al., 2016; Yusmah et al., 2020). Apabila masyarakat tidak yakin, mereka cenderung menangguhkan tindakan, meski pun ancaman sudah hampir.
Kajian turut menunjukkan bahawa respons terhadap amaran tidak seragam antara demografi. Golongan warga emas, misalnya, cenderung lebih lambat bertindak kerana terikat dengan rumah, mengalami kesukaran bergerak, atau percaya bahawa mereka “sudah biasa banjir” (Alias et al., 2019). Hal ini menuntut pendekatan komunikasi yang lebih inklusif, termasuk penggunaan dialek tempatan dan mesej berbentuk impak dan bukan sekadar laporan teknikal ribut.
Warga emas memerlukan penerangan tentang apa yang bakal berlaku dan bagaimana ia boleh menjejaskan kehidupan mereka secara langsung, manakala golongan muda lebih responsif jika diberi amaran melalui saluran digital dan aplikasi mudah alih. Dalam banyak insiden, kegagalan penyampaian amaran sama ada maklumat sampai lewat, bercanggah, atau tidak lengkap telah menyebabkan keluarga tidak sempat membuat persediaan sepatutnya (Yusmah et al., 2020).
Walaupun tahap kesedaran masyarakat tentang risiko bencana semakin meningkat, kesedaran sahaja tidak mencukupi. Apa yang diperlukan ialah kefahaman yang jelas tentang maksud setiap kategori amaran, tindakan yang wajar diambil, dan mengapa langkah-langkah itu penting; kerana itu, usaha penambahbaikan perlu dilakukan secara menyeluruh.
Penggunaan TV dan radio sebagai saluran utama harus dilengkapkan dengan saluran moden seperti SMS, aplikasi mudah alih, cell broadcasting dan media sosial yang mampu menjangkau audiens lebih luas serta lebih muda (Alias et al., 2019; Ahsan et al., 2020).
Amaran yang disampaikan juga harus memberi tumpuan kepada impak seperti menjelaskan risiko yang bakal dihadapi masyarakat, kesan kepada kawasan setempat dan langkah konkrit yang perlu dilakukan. Bahasa yang ringkas dengan contoh tempatan amat penting agar mesej benar-benar difahami, bukan sekadar didengar.
Lebih penting lagi, pendidikan awam mesti dijadikan usaha berterusan, bukan hanya ketika musim tengkujuh. Komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, perlu dilibatkan dalam perancangan dan penyebaran amaran agar wujud rasa memiliki terhadap sistem keselamatan ini (Abid et al., 2024; Rosmadi et al., 2023).
Di samping itu, koordinasi antara agensi kerajaan, NGO dan pihak berkuasa tempatan juga harus diperkukuh agar amaran disampaikan secara konsisten dan tepat. SOP pengurusan bencana perlu disemak secara berkala supaya segala maklumat dapat diselaraskan sebelum sampai kepada rakyat.
Akhirnya, liputan media rasmi bukan sekadar menyampaikan berita tentang ribut tropika, ia membentuk tingkah laku masyarakat, menyelamatkan nyawa dan mempengaruhi daya tahan negara ketika berdepan bencana.
Amaran jelas MetMalaysia pada awal pagi (27 Noemver 2025) mengingatkan kita bahawa setiap minit membawa makna, setiap ayat menentukan tindakan, dan setiap saluran komunikasi mampu membezakan antara keselamatan dan tragedi.
Selagi amaran awal disampaikan dengan penuh tanggungjawab dan masyarakat bertindak dengan bijak, Malaysia dapat menghadapi ribut yang mendatang dengan lebih bersedia dan tenang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Hamizah Sahharon
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam