fb fb fb fb fb

Pengorbanan: Cerminan ketabahan Misi Sumud Flotilla

Foto hiasan/AFP

SAUDARA PENGARANG

Pengorbanan dapat diertikan sebagai nilai sejagat yang merupakan asas kepada kemuliaan seseorang manusia. Kita semua tahu bahawa dalam setiap perjuangan, sesebuah kejayaan itu diperoleh melalui sebuah pengorbanan, tidak kira sama ada dari segi tenaga, nyawa, harta mahupun masa.

Untuk menjelaskan apa itu kemanusiaan sejagat, kita semua dapat lihat melalui pengorbanan dan keberanian para sukarelawan dari seluruh dunia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla. Ia merupakan satu inisiatif hebat dan berani untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza yang sedang dikepung dan diuji dengan penderitaan yang tidak henti.

Walaupun misi ini pada awalnya penuh dengan ketidakpastian sama ada akan berjaya untuk menembusi sekatan tentera Zionis ataupun berakhir dengan penahan, namun itu tidak menjadi alasan untuk para sukarelawan berhenti atas misi yang telah dilaksanakan, malah mereka lebih teguh untuk teruskan perjuangan.

Dari sini kita dapat lihat erti sebenar sebuah pengorbanan, di mana kita melakukan sesuatu yang besar bukan kerana kita yakin akan memperoleh kemenangan, namun kerana kita tahu ianya adalah perkara benar dan seharusnya untuk dilakukan.

Kita semua tahu bahawa sebuah pengorbanan bukanlah sekadar perbuatan lahiriah, namun ia juga merupakan lambang keikhlasan hati seseorang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai” (Surah Ali ‘Imrah, ayat 92). Dari ayat ini, jelas bahawa nilai sesebuah pengorbanan itu kita dapat ukur daripada kesanggupan seseorang untuk melepaskan apa yang kita sayang demi membantu orang lain.

Untuk membuktikan perkara itu, ada kalangan para sukarelawan yang menyertai misi Sumud Flotilla menjual harta sendiri untuk membiayai perjalanan mereka demi memastikan mereka sampai ke bumi Gaza, selain terpaksa meninggalkan ahli keluarga tercinta. Mereka juga bersedia dan rela untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran jalan laut yang jauh untuk tiba ke destinasi demi membawa bantuan perubatan dan makanan kepada penduduk Palestin.

Pejuang-pejuang dari seluruh negara yang turut serta dalam misi ini, sebenarnya sedia maklum dan tahu akan risiko yang akan mereka hadapi seperti kemungkinan akan dipintas dan tidak akan pulang dengan selamat. Namun mereka tetap teguh meneruskan perjuangan kerana di dalam hati mereka sudah tertanam satu keyakinan di mana kemanusiaan tidak boleh untuk tunduk kepada ketakutan.

Sumud Flotilla: Pengorbanan Dari Sebuah Ketabahan

Perkataan Sumud bukanlah sekadar nama misi, tetapi ia diambil daripada bahasa Arab yang membawa maksud ketabahan, daya tahan dan juga keteguhan. Sumud juga mencerminkan perihal semangat yang mendasari perjuangan saudara kita di Gaza yang sudah lama dirampas hak mereka dan ditindas.

Ketabahan mereka telah menjadi sumber kekuatan luar biasa walaupun dunia menutup mata atas setiap kekejaman yang berlaku; mereka tetap tidak berundur, malah lebih teguh untuk menghantar bantuan ke bumi Gaza.

Dari misi ini, para sukarelawan tanpa sedar telah menjelmakan roh Sumud ini melalui apa yang mereka tempuhi; mereka meneruskan perjalanan di lautan yang panjang bukan kerana mereka tidak tahu bahaya yang menanti, tetapi kerana mereka sedar bahawa jika terus berdiam bererti menyerah kepada kezaliman yang tiada henti.

Salah seorang sukarelawan yang turut serta dalam misi tersebut berkata bahawa, “Kami mungkin tidak mampu memecah sekatan sepenuhnya, tetapi kami mampu memecah kesenyapan dunia.” Kita boleh ertikan ini sebagai pengorbanan yang hakiki di mana mereka tidak mengharapkan hasil segera, tetapi menyalakan harapan bagi saudara kita yang ditindas.

Pengorbanan Melahirkan Harapan

Sebuah pengorbanan yang lahir dari hati yang ikhlas tidak berujung sia-sia. Walaupun dari yang kita lihat, misi flotilla ini mungkin tidak mencapai matlamat yang ditetapkan sepenuhnya, namun mereka telah berjaya menyampaikan mesej dan membuka mata seluruh dunia atas kekejaman yang berlaku, sekali gus membuktikan bahawa masih ada manusia yang berani untuk memperjuangkan keadilan demi kemanusiaan.

Para sukarelawan ini tidak menunggu menjadi kaya atau kuat, tetapi terus bertindak dengan apa yang ada, di mana kita sendiri dapat lihat bahawa ramai dari kaum wanita turut ikut serta dalam misi ini. Dari sini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa pengorbanan tidak menunggu masa yang sempurna untuk kita laksanakan, tetapi bermula apabila hati kita sudah terpaut untuk berkorban untuk sesuatu yang baik.

Global Sumud Flotilla telah memperlihatkan kepada seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa bahawa dalam lautan yang tidak menjanjikan kepastian sekalipun, masih mampu untuk kita berjuang demi mempertahankan nilai kemanusiaan. Keberanian mereka untuk mencuba sudah cukup untuk membuka hati manusia agar turut peduli dengan apa yang berlaku.

Besarlah harapan agar semangat Sumud ini terus menyala dalam diri kita semua, untuk mendorong kita untuk sama-sama berbuat kebaikan walaupun sekecil-kecil perkara dan berjuang walaupun ianya sukar.

Pengorbanan bukanlah sekadar tindakan, tetapi ianya juga merupakan sebuah keyakinan bahawa setiap usaha ikhlas yang kita lakukan ada nilai dan menjadi cahaya di sisi Allah SWT.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ZUHAIMI ABDUL RAHIM
Zuhaimi Abdul Rahim
Pengarah
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI