fb fb fb fb fb

GSF: Menentang berita palsu dan memupuk kesedaran fakta

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Bayangkan anda sedang membuka telefon dan terserempak dengan berita mengejutkan tentang Gaza. Dalam sekelip mata, berita itu tersebar ke seluruh dunia. Namun persoalannya, adakah ia benar atau sekadar khabar angin yang menyesatkan? Dalam era digital yang pantas, maklumat mengalir tanpa henti melalui media sosial, laman berita, aplikasi sembang dan pelbagai platform siaran langsung.

Namun di sebalik kemudahan ini, muncul cabaran besar yang semakin membimbangkan iaitu penularan maklumat salah (disinformation) dan maklumat mengelirukan (misinformation). Kedua-duanya bukan sahaja menjejaskan kefahaman awam terhadap isu global, malah turut menghakis nilai kemanusiaan apabila fakta diseleweng untuk membentuk persepsi yang salah.

Dalam konteks Gaza, maklumat tidak tepat mengenai Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sahaja boleh menjejaskan persepsi global terhadap usaha kemanusiaan, tetapi juga secara tidak langsung menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat. Inilah sebabnya mengapa mencari sumber maklumat yang tepat menjadi sangat penting.

GSF adalah satu inisiatif kesedaran yang lahir daripada semangat ketabahan rakyat Gaza, menyeru masyarakat dunia agar tidak tunduk kepada arus propaganda, sebaliknya berdiri teguh mencari kebenaran berdasarkan sumber sahih.

Sumber maklumat yang sahih bukan sahaja memberikan fakta yang tepat, tetapi juga membentuk pandangan objektif. Laporan media rasmi, pandangan pakar dan organisasi bukan kerajaan yang berdaftar dapat menawarkan perspektif lebih jelas dan mendalam. Tanpa pengesahan sumber, masyarakat mudah terjerumus ke dalam perangkap berita palsu yang boleh menjejaskan sikap sosial, keputusan harian dan kepercayaan terhadap institusi.

Jika masyarakat hanya bergantung kepada tajuk sensasi atau maklumat daripada media sosial tanpa disemak, mereka berisiko membentuk prejudis yang salah dan menilai sesuatu isu secara tidak adil.

Di Malaysia, kita juga tidak terlepas daripada cabaran ini. Penularan berita palsu di media sosial seperti Facebook, TikTok dan platform X sering menyebabkan kekeliruan dan mempercepatkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Kadangkala, perkongsian tanpa semakan hanya menambahkan kekeliruan dan menjadikan kesalahan maklumat itu lebih tular. Oleh itu, inisiatif literasi media perlu diperluas supaya masyarakat memahami peranan mereka sebagai penjaga maklumat. Setiap individu mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan apa yang dikongsikan bukan sekadar sensasi, tetapi berasaskan fakta yang disahkan.

Pendekatan berpusatkan manusia (human-centric) sangat relevan dalam menangani isu ini. Fokusnya bukan hanya pada teknologi atau algoritma, tetapi juga pada pendidikan, kefahaman konteks budaya dan empati dalam menyampaikan maklumat. Terdapat beberapa langkah praktikal untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima.

Antaranya ialah menyemak kredibiliti organisasi berita, memastikan penerbit mempunyai rekod ketelusan, dan menilai latar belakang penulis atau pakar yang memberikan pandangan. Bandingkan maklumat daripada pelbagai sumber supaya fakta dapat dikenal pasti dengan jelas dan spekulasi dapat dipisahkan.

Gunakan juga platform semakan fakta yang kini banyak tersedia. Akhir sekali, amalkan pemikiran kritis dengan menyoal siapa yang mendapat manfaat daripada maklumat itu dan adakah ia disokong oleh bukti sahih.

Penularan maklumat palsu (disinformation) dan maklumat mengelirukan (misinformation) bukan isu kecil. Ia memerlukan kesedaran dan tindakan kolektif daripada semua lapisan masyarakat. Pendekatan berpusatkan manusia (human-centric) menunjukkan bahawa penyelesaian terbaik bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga kepada kemampuan individu membina cara berfikir (mindset) kritis dan mencari sumber maklumat yang tepat.

Kesedaran, pendidikan dan empati menjadi kunci untuk memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh oleh berita palsu. Dengan mengamalkan prinsip ini, kita bukan sahaja melindungi diri daripada manipulasi maklumat, tetapi juga menyumbang kepada masyarakat yang lebih berinformasi, bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap penipuan digital.

Dalam dunia yang bergerak pantas ini, menjadi penerima maklumat pasif tidak lagi mencukupi. Membangunkan kesedaran dan kemampuan menilai sumber maklumat dengan bijak adalah keperluan asas. Cara berfikir mencari kebenaran, bukan sekadar menerima apa yang disuap media, adalah langkah pertama untuk melawan gelombang maklumat palsu

Usaha ini bukan sahaja penting untuk memahami konflik dan realiti rakyat Gaza, tetapi juga untuk membentuk masyarakat yang lebih matang, kritis dan mampu membuat keputusan berasaskan fakta yang tepat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NUUR ALIFAH ROSLAN
Dr Nuur Alifah Roslan
Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI