fb fb fb fb fb

Pendidikan melahirkan insan elak 'penyahmanusiaan'

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Insiden kematian Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar berumur 13 tahun yang dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama perempuan di sebuah sekolah didakwa berkaitan dengan insiden buli.

Sekiranya terbukti bahawa insiden ini adalah disebabkan buli, maka ini bukan kali pertama ia berlaku di negara kita. Kekejaman yang dilakukan kepada mangsa buli sehingga kehilangan nyawa menunjukkan sifat kemanusiaan yang telah hilang daripada diri pelaku-pelaku yang terlibat.

Kehilangan sifat kemanusiaan ini bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba dalam diri seseorang, kerana ia adalah suatu proses yang berlaku secara berperingkat. Proses terhakisnya sifat kemanusiaan ini disebut sebagai 'dehumanization' atau 'penyahmanusiaan'.

'Penyahmanusiaan' bermula apabila seseorang melihat individu lain hanya sebagai objek atau alat. Peringkat ini disebut sebagai 'objectification' atau 'objektifikasi'. Peringkat 'objektifikasi' bukanlah sepenuhnya tidak baik kerana dalam kehidupan seharian, kita sentiasa memerlukan individu lain sebagai objek atau alat untuk memenuhi keperluan dan melakukan tugas-tugas yang penting.

Walau bagaimanapun, sekiranya 'objektifikasi' telah sampai ke peringkat 'penyahmanusiaan', seseorang itu akan mula melihat individu lain hanya sebagai objek atau alat sepenuhnya, tiada roh, jiwa atau perasaan, dan bebas untuk diperlakukan apa sahaja.

Pada peringkat ini, pelaku tidak lagi menghiraukan aspek kemanusiaan yang dimiliki oleh mangsa seperti situasi, keadaan, perasaan, atau kesakitan, tetapi fikiran pelaku hanya terhad kepada matlamat yang ingin dicapainya sahaja.

Apabila seseorang pelaku 'menyahmanusiakan' mangsanya, sifat kemanusiaan itu tidak hilang daripada mangsa tersebut. Sebaliknya, pelaku tersebutlah yang akan hilang kemanusiaannya. Dalam erti kata lain, individu lain tidak akan boleh menghilangkan sifat kemanusiaan kita, tetapi kita sendirilah yang menjadi punca hilangnya sifat kemanusiaan daripada diri kita dengan menyahmanusiakan orang lain.

Persoalan yang perlu difikirkan ialah, bagaimana seseorang itu boleh hilang sifat kemanusiaannya? Tiada manusia yang lahir dengan fitrah yang buruk. Semua manusia lahir umpama kain putih dan yang mencoraknya ialah persekitaran mereka. Pada zaman ini, persekitaran kanak-kanak bukan sekadar ibu bapa dan keluarga, tetapi juga pelbagai kandungan yang boleh mereka akses di internet.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menyebut bahawa pendidikan di Malaysia ialah untuk melahirkan insan, suatu konsep kemanusiaan yang penting di mana manusia terdiri daripada bukan sahaja aspek intelek, tetapi juga jasmani, emosi dan rohani.

Sekiranya kefahaman dan amalan pendidikan negara kita benar-benar berlandaskan FPK, maka pendidikan kita tidak akan terlalu taksub dengan perkembangan akademik semata-mata, kerana kita faham bahawa di samping perkembangan intelek, anak-anak kita di sekolah juga sedang melalui perkembangan jasmani, emosi dan rohani dengan seimbang dan harmoni. Pendidikan sebeginilah yang akan menjadikan mereka seorang insan.

Konsep insan ini juga tidak boleh dipisahkan daripada aspek ketuhanan iaitu Yang Mencipta insan itu sendiri. Oleh itu, FPK juga menekankan bahawa pendidikan di Malaysia mestilah berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Seseorang manusia yang percaya dan yakin bahawa dirinya adalah insan yang dicipta oleh Tuhan, tidak akan berani untuk melakukan tindakan kejam terhadap manusia lain. Ini kerana dia sedar akan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Adil pasti akan menyediakan balasan yang setimpal dengan perbuatannya itu.

Walau bagaimanapun, kesedaran sebegini amatlah sukar bagi individu yang telah celaru aspek emosinya, telah pudar rohaninya, dan telah terhakis sifat kemanusiaannya.

Sekiranya kefahaman dan amalan pendidikan kita telah terpesong daripada landasan FPK dan hanya melihat pendidikan dari aspek intelek semata-mata, di sinilah mungkin bermulanya proses 'penyahmanusiaan' itu berlaku.

Kita hanya menganggap pendidikan itu semata-mata perkembangan intelek dan prestasi akademik. Kita resah sekiranya silibus mereka tidak cukup tinggi untuk intelek mereka.

Pendidikan untuk perkembangan emosi dan rohani tidak dibimbing dengan anggapan mereka akan pelajari sendiri berkenaan emosi dan rohani apabila mereka telah dewasa. Natijah daripada kefahaman terpesong ini bukanlah keputusan SPM tahun ini atau tahun hadapan.

Tetapi, natijah daripada kefahaman terpesong ini ialah selepas 10 atau 15 tahun akan datang, kita akan berasa pelik dengan kes-kes jenayah yang tidak pernah kita dengar sebelum ini mula memenuhi ruang berita muka hadapan.

Penyelesaian kepada isu ini bukanlah dengan menambah lagi subjek baharu seperti Pendidikan Nilai atau Pendidikan Kemanusiaan di sekolah. Beban guru dan anak-anak kita di sekolah telah cukup banyak dan tidak perlu ditambah.

Penyelesaian kepada isu ini ialah dengan memberi ruang kepada para guru dan pendidik di sekolah untuk membincangkan isu-isu berkenaan kemanusiaan, emosi, ketuhanan, dan kerohanian di dalam topik-topik yang sesuai melalui silibus sedia ada.

Ruang perbincangan ini adalah sukar didapati sekiranya silibus pendidikan terlalu padat sehingga menghilangkan minat murid untuk belajar, atau beban tugas guru terlalu banyak melibatkan perkara-perkara selain pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, pendidikan yang seimbang seperti yang digariskan di dalam FPK adalah penting untuk mencegah 'penyahmanusiaan'. Dengan menekankan perkembangan jasmani, intelek, emosi, dan rohani yang seimbang, serta menjadikan kepercayaan kepada Tuhan sebagai asas pendidikan, kita akan dapat melahirkan insan yang memiliki sifat kemanusiaan yang kukuh.

Sehubungan itu, penting untuk memastikan sistem pendidikan tidak hanya fokus pada aspek intelek tetapi juga memberi ruang untuk guru mendidik aspek kemanusiaan, emosi, kerohanian dan ketuhanan melalui silibus sedia ada. Pendidikan sebegini diharapkan dapat membentuk generasi yang menghargai dan memelihara kemanusiaan dalam diri mereka dan orang lain.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Mohd Mokhtar Muhamad
Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

ROSLINA BINTI DIN