fb fb fb fb fb

Memaksimumkan pembelajaran mikro untuk masa depan pendidikan kita

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Pernah suatu ketika dahulu, suasana bilik darjah dihiasi dengan bunyi geseran kapur di papan hitam oleh guru, pelajar tekun mencatat nota panjang, dan guru menyampaikan pengajaran selama setengah jam sehingga ke satu jam tanpa henti. Namun kini, suasana pengajaran dan pembelajaran tersebut telah mengalami perubahan – bukan kerana pelajar tidak lagi mempunyai keinginan untuk belajar atau guru kehabisan bekalan kapur tulis, tetapi cara dan pendekatan mereka untuk memberi serta mendapatkan ilmu telah berubah, seiring dengan perubahan masa dan zaman.

Tiada lagi kapur dan papan hitam menghiasi suasana pembelajaran, malah ia digantikan dengan peranti mudah alih seperti tablet, komputer riba atau sekurang-kurangnya telefon pintar yang dimiliki oleh kebanyakan pelajar masa kini.

Bidang pendidikan di negara kita telah menerima satu lagi pembaharuan yang mula mendapat tempat oleh kebanyakan masyarakat dunia iaitu era pembelajaran mikro – pendekatan pendidikan abad ke-21 yang semakin mendapat tempat bukan sahaja di institusi pengajian tinggi, malah mula diterapkan di sekolah dan juga modul latihan profesional.

Ia bukan lagi menghiasi dunia pendidikan hanya sekadar trend kepada teknologi terkini yang banyak diguna pakai dalam pelbagai jenis industri, malah merupakan satu keperluan mendesak dalam dunia yang semakin pantas dan era digital.

Dianggarkan seramai lebih dari 90% golongan remaja dan dewasa memiliki alat peranti yang dihubungkan dengan kemudahan internet, di mana ia memberikan akses yang mudah dan secara langsung kepada pendekatan pembelajaran mikro ini.

Kelebihan pembelajaran mikro

Pembelajaran mikro bersifat fleksibel dan boleh diakses pada bila-bila masa. Pelajar tidak lagi terikat kepada waktu kelas yang telah ditetapkan secara khusus. Mereka boleh mengulangkaji topik tertentu melalui video atau bahan mikro yang boleh didapati secara atas talian sambil menunggu bas atau berada di rumah.

Tiada lagi kehadiran secara fizikal diperlukan memandangkan mod penyampaian yang sangat fleksibel dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pelajar kerana sifatnya yang ringkas dan mudah diakses.

Memenuhi selera pelajar masa kini, pembelajaran mikro dilihat lebih interaktif dan menarik jika dibandingkan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara tradisional. Penggunaan animasi, kuiz, dan elemen visual menjadikan pembelajaran lebih hidup dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik kepada para pelajar.

Ini dilihat amat bersesuaian untuk generasi digital-native yang membesar dengan pelbagai jenis aplikasi media sosial seperti TikTok, YouTube, Instagram dan sebagainya. Elemen interaktif ini selain menghilangkan rasa bosan, ia juga mampu meningkatkan motivasi kepada pelajar khususnya secara visual untuk mengikuti pengajaran yang telah disediakan oleh guru. Kajian oleh beberapa penyelidik tempatan menunjukkan lebih dari 80% pengguna gajet tertarik kepada kandungan berunsurkan hiburan, interaktif dan bersifat rangkaian sosial (social networking).

Bertepatan dengan gaya hidup generasi alpha, pembelajaran mikro juga mengamalkan pendekatan pembelajaran mengikut kadar sendiri (self-paced learning). Tidak semua pelajar dapat memahami tentang sesuatu konsep dalam satu masa yang sama. Justeru, pembelajaran mikro memberi peluang untuk melakukan ulangkaji secara kendiri, mengikut kadar pemahaman masing-masing.

Ini seterusnya mampu meningkatkan pemahaman dan minat pelajar terhadap pengetahuan yang dipelajari, yang akhirnya memberikan kesan positif terhadap pencapaian akademik mereka. Ini juga dapat membantu guru untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan pelajar memandangkan waktu yang diperuntukkan di sekolah agak pendek dan terhad.

Melalui kaedah pembelajaran mikro juga, ia mampu untuk mengurangkan beban guru dan pelajar dengan hanya memberi tumpuan kepada satu objektif pembelajaran yang khusus dalam skala yang kecil melalui satu modul mikro. Guru tidak perlu merangkumi terlalu banyak isi dalam satu masa, manakala pelajar tidak dibebani maklumat berlebihan, selaras dengan peribahasa Melayu sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Cabaran pelaksanaan

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa peralihan pendekatan ini datang bersama beberapa cabaran tertentu. Antara isu utama termasuklah akses kepada peranti dan internet, terutamanya bagi pelajar luar bandar yang sangat terhad. Memandangkan pembelajaran mikro ini banyak bergantung kepada penggunaan teknologi digital dan kemudahan internet, maka fasiliti alat peranti amatlah perlu dan menjadi keperluan asas di dalam pembelajaran mikro.

Selain itu, terdapat juga isu lain iaitu guru yang kurang berkemahiran menggunakan peralatan moden bagi tujuan penyediaan kandungan pembelajaran. Kemahiran literasi digital guru merupakan suatu komponen penting dalam mereka bentuk bahan mikro yang efektif untuk menarik minat pelajar terhadap sesuatu topik yang diperkenalkan. Jika guru terlibat kurang berkemahiran menggunakan pendekatan digital, pelaksanaan pembelajaran mikro dilihat mencabar dan kurang mendapat perhatian guru tersebut.

Di samping itu, kekangan lain yang dihadapi adalah penyesuaian sistem penilaian dan kurikulum yang masih berpaksikan kaedah konvensional. Boleh dikatakan secara keseluruhan, sistem penilaian pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia masih berpaksikan kepada pembelajaran secara tradisional di mana guru mengajar manakala pelajar tekun mendengar di dalam kelas.

Menurut Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh KPM di dalam cetakan pertamanya pada 2023, penggalakan terhadap pendidik dan pemimpin pendidikan dilihat perlu untuk mengintegrasikan pendidikan digital di dalam ekosistem pendidikan negara.

Justeru, perlunya latihan profesional yang sistematik kepada para pendidik untuk memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi perubahan alaf baru, termasuk modul pembangunan bahan mikro, reka bentuk pengajaran digital, dan penggunaan platform e-pembelajaran secara efektif.

Masa depan pendidikan di hujung jari

Beberapa negara seperti Finland, Singapura dan Korea Selatan telah lama mengintegrasikan pendekatan pembelajaran mikro dalam sistem pendidikan mereka. Di Malaysia, inisiatif seperti Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan program MyDigital membuka ruang yang besar bagi memberi laluan kepada pengembangan pedagogi baharu ini.

Apa yang penting ialah kesediaan minda guru, pentadbir dan pembuat dasar untuk berubah. Guru hari ini bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencipta pengalaman pembelajaran – dan pembelajaran mikro adalah antara alat terbaik untuk tujuan itu.

Jika kita lihat dan amati senario pendidikan khususnya di Malaysia, evolusi dalam pendidikan tidak berlaku hanya dalam tempoh semalaman. Ia memerlukan komitmen, latihan dan perubahan budaya dari pelbagai pihak sama ada pembuat dasar, pemimpin, guru, ibu bapa mahupun pelajar.

Namun jika kita ingin melihat pelajar kita lebih fokus, lebih bermotivasi dan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar, maka pendekatan pembelajaran mikro wajar diberi ruang dan perhatian.

Daripada kapur dan papan hitam, kita kini bergerak ke klik dan skrin digital. Dan dalam dunia yang bergerak pantas ini, pembelajaran mikro bukan lagi pilihan – malah ia satu keperluan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NORHARYAN MOHSIN
Dr. Norharyan Mohsin
Pensyarah Kanan
Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI