fb fb fb fb fb

SPRM imbangi antara tindakan tegas dan pencegahan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh strategi memerangi rasuah dengan mengimbangi dua pendekatan utama: Tindakan punitif (hukuman) dan pendekatan non-punitif (pencegahan dan pembaikan sistem). Gabungan ini bukan sahaja memastikan pesalah dihukum sewajarnya, malah membantu memperbaiki kelemahan pentadbiran secara berterusan.

Pendekatan punitif merangkumi tindakan keras seperti pendakwaan di mahkamah atau perlucutan hak harta terhadap individu yang terlibat dalam rasuah. Langkah tersebut adalah mesej jelas bahawa perbuatan rasuah tidak akan dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas.

Sebagai contoh, seorang pegawai kerajaan yang menerima suapan untuk meluluskan sesuatu projek boleh didakwa dan asetnya yang diperoleh secara tidak sah boleh disita dan dilucut hak oleh SPRM. Tindakan ini bukan sahaja menghukum tetapi juga menghalang pesalah daripada menikmati hasil perbuatan mereka.

Selain itu, tindakan kompaun juga digunakan, khususnya bagi kes pengubahan wang haram. Kuasa ini membolehkan SPRM bertindak di bawah Akta SPRM 2009 dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Kelebihan kaedah kompaun ialah ia menyelesaikan kes tanpa melalui proses perbicaraan panjang dan rumit, sambil tetap memberi pengajaran serta memulihkan aset negara.

Pendekatan Non-Punitif: Pencegahan dan Penambahbaikan Sistem

Selain tindakan berbentuk hukuman, SPRM juga mengesyorkan pendekatan non-punitif yang bersifat pencegahan dan pembaikan sistem. Tindakan non-punitif tetap dijalankan dalam kes; elemen jenayah tidak dijumpai atau bukti tidak cukup untuk pendakwaan. Pendekatan pencegahan ini melibatkan pemantauan serta kajian terhadap amalan dan prosedur pentadbiran yang terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.

Sekiranya dapat dikenal pasti kelemahan atau kelompangan, SPRM akan memberikan khidmat nasihat bagi penambahbaikan amalan dan prosedur kepada kementerian atau jabatan terlibat untuk menutup ruang dan peluang rasuah. Langkah ini memberi kesempatan kepada agensi terbabit untuk memperbaiki kelemahan tanpa perlu menunggu sehingga rasuah benar-benar berlaku.

SPRM turut melaporkan kepada ketua jabatan sekiranya terdapat kesalahan atau pelanggaran tatakelakuan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai dan kakitangan semasa siasatan rasuah dijalankan. Susulan itu, ketua jabatan perlu mengambil tindakan berdasarkan pekeliling berkaitan sekiranya individu terbabit didapati melanggar tatakelakuan termasuklah tindakan buang kerja atau turun pangkat.

Langkah ini bagi memastikan tindakan disiplin seperti buang kerja atau turun pangkat boleh diambil segera. Individu yang mempunyai rekod salah laku juga dapat dikecualikan daripada mengurus urusan sensitif, sekali gus melindungi integriti organisasi.

Di samping itu, SPRM turut memanfaatkan teknologi Analisis Data Raya (Big Data Analytics) bagi meningkatkan ketepatan dalam mengenal pasti pola dan trend rasuah. Penggunaan teknologi ini membolehkan SPRM bertindak lebih proaktif dan efisien dalam menyusun strategi pencegahan yang lebih menyeluruh dan bersasar.

Kesimpulannya, pendekatan yang mengimbangi hukuman keras dan pencegahan menyeluruh membuktikan komitmen SPRM menangani rasuah secara menyeluruh. Ia bukan sahaja menghukum pesalah, tetapi juga membina ekosistem tadbir urus yang telus, berintegriti dan berdaya tahan.

Sekali gus pendekatan ini menggambarkan iltizam SPRM untuk memastikan pentadbiran awam di Malaysia bebas daripada gejala rasuah demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DATO ZAINUL DARUS

Dato' Zainul Darus
Pengarah Kanan Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI