fb fb fb fb fb

Asasi bukan sekadar laluan, tapi titik permulaan

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Ramai melihat program asasi sebagai sekadar laluan pantas ke universiti. Namun, realitinya, program ini lebih daripada itu. Ia fasa penting yang menguji ketahanan diri pelajar, membentuk jati diri dan mencorakkan sikap terhadap ilmu serta kehidupan.

Sebagai salah seorang pengajar di pusat asasi, saya berpeluang melihat sendiri pelbagai cabaran dan perubahan yang dialami oleh para pelajar dalam tempoh singkat ini.

Bagi kebanyakan pelajar, peralihan daripada alam persekolahan ke alam pengajian tinggi bukan sesuatu yang mudah.

Di pusat asasi, rentak pembelajaran lebih pantas, kandungan silibus lebih padat, dan jangka masa yang diberikan pula sangat terhad.

Dalam suasana ini, kemampuan menyesuaikan diri menjadi penentu kejayaan.

Tidak seperti suasana di sekolah menengah, pelajar asasi perlu lebih berdikari dalam menguruskan masa, menyelesaikan tugasan, dan memahami topik yang diajar.

Tiada lagi guru yang sentiasa mengingatkan atau menanda buku latihan setiap hari. Pensyarah menggalakkan pelajar untuk mengambil inisiatif sendiri. Oleh itu, disiplin kendiri amat penting.

Ada pelajar yang mengalami kejutan budaya akademik di mana rasa tertekan dengan jumlah tugasan, kurang tidur, atau berdepan keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.

Namun, semua ini adalah sebahagian daripada proses pembentukan kecekalan mental dan emosi.

Tekanan bukan penghalang, tapi peluang

Tekanan yang dihadapi bukanlah sesuatu yang negatif sepenuhnya. Sebaliknya, ia boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan diri.

Apabila pelajar mula belajar mengurus masa dengan lebih berkesan, menyusun jadual belajar sendiri, dan mencari sumber pembelajaran tambahan, mereka sebenarnya sedang melatih daya tahan dan kemahiran insaniah yang amat berharga di peringkat lebih tinggi kelak.

Penting untuk pelajar memahami bahawa setiap cabaran yang dihadapi adalah ruang untuk belajar.

Jika gagal dalam peperiksaan pertama, itu bukan pengakhiran. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk bangkit dan belajar daripada kesilapan.

Fokus pada perjalanan diri sendiri

Salah satu cabaran besar pelajar asasi ialah kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain.

Melihat rakan sebaya yang cemerlang kadang-kala menimbulkan perasaan rendah diri atau tidak cukup bagus.

Dalam hal ini, pelajar harus diajar untuk menumpukan kepada perkembangan diri sendiri dan tidak terperangkap dalam perlumbaan yang memenatkan emosi.

Setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Justeru, lebih baik menetapkan sasaran peribadi dan berusaha mencapainya secara konsisten.

Kemajuan kecil setiap hari lebih bermakna daripada perubahan besar yang tidak kekal.

Cari tujuan, bukan sekadar keputusan

Satu aspek penting yang sering diabaikan pelajar ialah tujuan pembelajaran. Ramai belajar sekadar untuk mendapatkan markah tinggi atau memenuhi harapan ibu bapa.

Sedangkan, apabila seseorang pelajar benar-benar memahami sebab mereka belajar, motivasi yang terhasil akan lebih kukuh dan tahan lama.

Tujuan ini bukan sahaja mendorong mereka untuk berjaya dalam akademik, tetapi juga membentuk sikap positif terhadap ilmu, masyarakat dan masa depan.

Pendidikan bukan hanya untuk memperoleh pekerjaan, tetapi juga untuk membina karakter dan menyumbang kepada negara.

Rehat sebagai keperluan, bukan kelemahan Dalam kesibukan mengejar pencapaian akademik, aspek rehat sering kali diabaikan.Ada yang beranggapan berehat adalah tanda kemalasan.

Sebenarnya, rehat yang terancang merupakan sebahagian daripada strategi pembelajaran yang berkesan.

Otak dan tubuh manusia mempunyai had. Memberi ruang untuk berehat akan meningkatkan daya fokus, memperbaiki emosi dan membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik.

Pelajar yang tahu mengimbangi masa belajar dan masa rehat biasanya lebih stabil dari segi emosi dan mental.

Asasi sebagai titik perubahan

Program asasi merupakan ruang terbaik untuk pelajar mengenal potensi diri, membina keyakinan, dan belajar berdikari. 

Ia menjadi landasan kukuh untuk menghadapi dunia pengajian tinggi dan kehidupan yang lebih mencabar selepas itu.

Tidak semua orang diberi peluang melanjutkan pelajaran di peringkat asasi. 

Maka, peluang ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya, bukan hanya untuk mengejar pointer, tetapi juga untuk membina peribadi yang matang, berdaya tahan dan berpandangan jauh.

Setiap nota yang ditulis, setiap malam yang dilalui dengan tekun, dan setiap cabaran yang berjaya diatasi, adalah bukti bahawa pelajar tersebut sedang melangkah ke arah kejayaan sebenar bukan sahaja dalam akademik, tetapi dalam kehidupan.

Penutup

Kepada semua pelajar baharu yang baru melangkah ke dunia asasi, selamat datang ke fasa baharu kehidupan anda. Di sinilah tempat anda mula mengenali potensi diri, membina keyakinan, dan mencabar keupayaan sendiri.

Asasi bukan sekadar laluan ke universiti, tetapi medan latihan untuk menjadi insan yang lebih berdikari, berdisiplin dan matang dalam membuat keputusan.

Cabaran pasti ada, tetapi setiap cabaran membawa peluang untuk anda menjadi lebih kuat dan bijaksana.

Yakinlah bahawa anda berada di tempat yang tepat, dan setiap langkah yang diambil hari ini akan memberi kesan besar pada masa hadapan. Sambutlah pengalaman ini dengan hati terbuka, semangat baharu, dan tekad yang tinggi.

Selamat maju jaya, dan semoga perjalanan anda di sini menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NORHAFIZA MUDA
Norhafiza Muda
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bahagian Fizik
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM