fb fb fb fb fb

Melentur jiwa anak muda dengan pendidikan hijau

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Indeks Prestasi Perubahan Iklim 2025 yang diterbitkan oleh Germanwatch, NewClimate Institute dan Climate Action Network (CAN) International menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan yang progresif, meningkat 11 anak tangga ke tangga ke-48. Namun hakikatnya, negara kita masih berada dalam kelompok berprestasi rendah.

Walaupun Malaysia hanya menyumbang sekitar 0.8% daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau global dan dikategorikan sebagai negara Non-Annex I di bawah Perjanjian Paris, negara kita masih giat berusaha memerangi kesan negatif perubahan iklim.

Sasaran sifar bersih menjelang 2050 tidak akan tercapai hanya dengan dasar dan polisi, ia memerlukan perancangan jangka masa panjang iaitu melalui pembentukan jiwa anak muda yang berilmu, berkemahiran, dan bersedia bertindak.

Peranan green education atau pendidikan hijau, istilah yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (Education for Sustainable Development) atau ESD adalah salah satu instrumen utama oleh UNESCO dalam menghadapi cabaran mendesak yang dihadapi dunia.

Ia bertujuan memperkasa masyarakat dengan pengetahuan, kemahiran, nilai, sikap, dan tingkah laku untuk hidup dengan cara yang harmoni dan sejahtera dengan alam sekitar, ekonomi, dan masyarakat. ESD mendorong individu membuat pilihan yang bijak dan bertanggungjawab demi membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

Namun pada peringkat global, jurang penguasaan pendidikan iklim masih besar. Analisis UNESCO terhadap 100 kerangka kurikulum negara mendapati hampir separuh kerangka pendidikan tidak menyentuh isu perubahan iklim.

Manakala kajian pada 2021 menunjukkan 70% golongan muda tidak dapat menerangkan apakah sebenar konsep asas perubahan iklim. Keadaan ini menegaskan bahawa pendidikan hijau perlu melangkaui penyampaian maklumat, sebaliknya memupuk nilai, sikap, dan kepimpinan yang mendorong kepada tindakan yang berkesan.

Bagi membentuk generasi yang mampu beradaptasi, Malaysia perlu mengambil langkah teguh dan berstrategi. Di sekolah, kandungan pendidikan iklim perlu untuk diasimilasikan, selaras dengan penunjuk SDG 4.7.1 yang mengukur tahap integrasi ESD dan pendidikan berkaitan pembangunan global, termasuk pendidikan perubahan iklim, dalam sistem pendidikan sesebuah negara.

Begitu juga dengan SDG 13.3.1 yang menilai sejauh mana pendidikan perubahan iklim diserap ke dalam kurikulum dan latihan guru sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan kapasiti adaptasi di samping dapat mengemas kini secara komprehensif latihan guru dan penilaian pelajar. Setiap sekolah wajar untuk disarankan mempunyai sasaran tahunan yang jelas. Contohnya melaksanakan sekurang-kurangnya satu projek mitigasi atau adaptasi yang dipimpin pelajar dengan hasil yang dapat dibuktikan.

Di universiti, semua bidang pengajian bukan hanya yang berkaitan alam sekitar boleh memasukkan aktiviti berorientasikan tindakan yang dinilai, seperti audit tenaga, kempen pengurangan sisa, atau program saintis masyarakat yang menggunakan pendekatan responden kajian sains bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemantauan alam sekitar, selaras dengan matlamat yang dikehendaki oleh UNESCO melalui Kerangka Pendidikan Hijau (Greening Education Framework).

Sektor swasta turut berperanan penting dalam menyemai pendidikan hijau melalui pemberian geran padanan dan kredit latihan industri bagi projek atau program intensif , singkat dan berfokus berkonsepkan green sprints bersama pelajar yang bertemakan penjimatan tenaga, pengurusan logistik, atau membangunkan reka bentuk produk lestari.

Langkah ini membuka peluang kepada syarikat untuk melaporkan impak perkongsian pendidikan hijau sebagai sebahagian daripada strategi kelestarian mereka. Dalam konteks ini, satu mekanisme penanda aras sukarela boleh dibangunkan untuk menilai dan memberi pengiktirafan kepada kerjasama industri–pendidikan yang berjaya menyampaikan hasil ESD seperti modul iklim dalam kurikulum, latihan kemahiran hijau, atau projek komuniti. Mekanisme ini boleh dihubungkan dengan pelaporan SDG/ESG korporat, sekali gus dapat memberi insentif kepada syarikat untuk melabur dalam perkongsian pendidikan berkualiti.

Cadangan ini selaras dengan mandat Greening Education Partnership untuk “menghijaukan” setiap aspek pembelajaran, di samping menyediakan rangka indikator untuk menilai sejauh mana ESD dan pendidikan perubahan iklim diarusperdanakan dalam dasar, kurikulum, latihan dan penilaian pelajar.

Institusi kerajaan juga wajar menjadi teladan dengan menjadikan kementerian, hospital, dan dewan bandaraya bukan sahaja sebagai tempat menyampaikan perkhidmatan, tetapi juga sebagai tapak pembelajaran hidup (living sites) iaitu lokasi di mana pelajar dapat mengakses data sebenar, memerhati operasi secara langsung, dan melaksanakan intervensi yang memberikan secara kesan nyata.

Di lokasi ini, papan pemuka tenaga dan sisa boleh dipasang untuk memaparkan data secara real-time atau secara berkala berkenaan penggunaan elektrik, air, dan jumlah sisa termasuk pecahan sisa organik, kitar semula, dan sisa am.

Pelajar sekolah atau universiti yang mengikuti kursus berkaitan kelestarian, pengurusan tenaga, atau teknologi alam sekitar boleh diberikan akses untuk menganalisis data ini, seterusnya membangunkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan serta melaksanakan intervensi bersama pihak agensi yang membawa kepada penjimatan sumber, pengurangan sisa, dan peningkatan kesedaran awam.

Penglibatan pelajar dalam inisiatif ini wajar dilihat sebagai sebahagian sinergi komuniti bersama pihak kerajaan; daripada usaha peningkatan prestasi organisasi, di mana hasil dan impaknya direkod serta diketengahkan dalam laporan tahunan. Langkah ini memastikan laporan kelestarian bukan sekadar mengumumkan dasar, tetapi membuktikan kesannya terhadap pembelajaran dan tindakan di lapangan.

Isu alam sekitar ini diibaratkan bagai kelahi dalam kepuk, penuh cabaran dan kepentingan yang bertembung. Namun, jika jiwa anak muda dilentur dengan ilmu, nilai, dan semangat tindakan melalui pendidikan hijau, sinar harapan akan terus wujud. Sasaran sifar bersih 2050 bukan sekadar impian di atas kertas, tetapi matlamat yang mampu direalisasikan apabila generasi hari ini dibentuk dari peranan pelbagai pihak dapat menjadikan mereka penyelesai masalah pada masa hadapan.

Pendidikan hijau adalah kunci dan wadah untuk melahirkan pemimpin yang bukan sahaja memahami kerumitan cabaran alam sekitar, tetapi juga bersedia memimpin usaha untuk mencari jalan penyelesaian.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR AZIZI ABU BAKAR
Dr Azizi Abu Bakar
Pegawai Penyelidik
Universiti Malaya Sustainable Development Centre (UMSDC)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI