fb fb fb fb fb

Nilai kemanusiaan, cabaran media dalam era AI

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PEGARANG

Dunia hari ini sedang mengalami gelombang perubahan yang begitu drastik akibat kemunculan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Teknologi AI ini semakin hari semakin pintar, dan bukan saja membantu dalam bidang perubatan, pendidikan, dan ekonomi, malah industri media dan kewartawanan juga sudah menerima kesannya.

Bidang media seperti penyiaran, kewartawanan serta pelaporan berita antara sektor terawal yang ‘ditegur’ oleh kehadiran AI. Daripada aplikasi seperti ChatGPT, algoritma yang boleh cipta kandungan secara automatik, sampailah ke robot yang mampu bekerja sebagai pemberita. Kedengaran seperti canggih namun ada juga cabaran besar yang perlu diberi perhatian serius.

Tidak dinafikan, keupayaan AI yang paling menonjol dalam dunia media ialah keupayaannya menjana kandungan secara pantas. Tambahan pula, AI juga mampu menganalisis data besar dan mengenal pasti trend kandungan yang sedang popular dalam kalangan pengguna media sosial. Ini membolehkan organisasi berita lebih responsif terhadap minat khalayak.

Bagaimanapun, terdapat satu elemen penting yang dilihat dalam AI tidak boleh digantikan iaitu nilai kemanusiaan. Sebagai contoh, sistem berasaskan AI tidak memiliki empati, naluri moral, atau kepekaan terhadap dimensi sosial dan budaya yang melatari sesuatu isu.

Ketika melaporkan kejadian banjir besar yang menjejaskan ribuan penduduk, AI mungkin hanya menyampaikan fakta seperti angka kemusnahan, jumlah mangsa terjejas, atau tahap air semasa. Namun, wartawan manusia melihat lebih daripada itu.

Mereka membawa suara mangsa ke permukaan, mengetengahkan kisah penderitaan, harapan, dan perjuangan yang menyentuh hati. Elemen inilah yang memberikan jiwa kepada sesuatu laporan, dan yang menjadikan kewartawanan lebih daripada sekadar penyampaian maklumat.

Selain kekurangan elemen kemanusiaan, AI juga tidak memiliki kemampuan untuk menilai implikasi jangka panjang sesuatu berita. Sistem ini hanya berfungsi berdasarkan data dan corak maklumat yang tersedia, tanpa mempertimbangkan kesan sosial yang mungkin timbul.

Misalnya, AI mungkin tidak menyedari bahawa sesuatu laporan berpotensi mencetuskan panik awam, memperbesar ketegangan antara kaum, atau memanipulasi emosi pembaca. Oleh itu, tanggungjawab untuk menilai sensitiviti dan kesan sesebuah berita masih terletak di bahu manusia.

Dalam lanskap digital hari ini, satu lagi cabaran yang semakin membimbangkan ialah penyebaran berita palsu. Masyarakat kini lebih terdedah kepada maklumat yang dikongsi melalui media sosial, terutamanya apabila ia datang daripada rakan atau kenalan yang dipercayai. Lebih memburukkan keadaan, AI kini boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghasilkan berita palsu yang kelihatan sahih dan meyakinkan.

Situasi ini menjadikan usaha mengekang penularan maklumat tidak benar semakin rumit, sekali gus menuntut strategi yang lebih menyeluruh termasuklah pendidikan literasi media, peraturan teknologi yang jelas, dan penglibatan aktif masyarakat dalam mengenal pasti serta melaporkan kandungan meragukan.

Tambahan pula, algoritma yang digunakan oleh platform media sosial seperti Facebook dan TikTok cenderung menampilkan kandungan berdasarkan minat dan kecenderungan pengguna, bukannya berdasarkan ketulenan atau ketepatan maklumat.

Jika seseorang kerap membaca atau berinteraksi dengan berita yang sensasi atau berat sebelah, sistem akan terus memaparkan lebih banyak kandungan yang seumpamanya tanpa menilai kesahihan sumber. Keadaan ini membentuk apa yang dikenali sebagai echo chamber atau gelembung maklumat, di mana pengguna hanya terdedah kepada pandangan yang selari dengan kepercayaan mereka sendiri.

Fenomena ini bukan sahaja mengaburkan sempadan antara fakta dan fiksyen, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan pemikiran masyarakat. Apabila rakyat hidup dalam gelembung pandangan yang bercanggah, perpaduan boleh terjejas. Sistem demokrasi akan tercemar oleh maklumat yang berat sebelah dan menyesatkan dek kerana penyalahgunaan AI dan kebergantungan pada sistem ini. Oleh itu, AI harus digunakan secara beretika dan bertanggungjawab.

Bagi memastikan AI berfungsi secara positif, kita memerlukan dasar dan garis panduan yang jelas. Negara perlu menggubal undang-undang yang mengawal penggunaan AI dalam media, termasuk aspek tanggungjawab, verifikasi fakta, dan perlindungan data peribadi. Tanpa kerangka perundangan ini, kita memberi ruang kepada penyalahgunaan teknologi yang boleh memudaratkan masyarakat.

Di samping itu, literasi media tidak seharusnya terhad kepada golongan dewasa sahaja, sebaliknya perlu diterapkan seawal mungkin khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja yang merupakan pengguna media digital paling aktif masa kini. Sekiranya kita gagal melahirkan masyarakat yang bijak menilai kandungan, kita berisiko membentuk generasi yang mudah terpedaya dan terdedah kepada manipulasi maklumat.

Dalam hal ini, media sebagai ejen utama penyampaian maklumat, turut memikul tanggungjawab besar. Setiap laporan dan artikel yang diterbitkan seharusnya bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi juga mengandungi nilai pendidikan dan mesej sosial yang membina. Media harus menjadi wadah yang mengajak pembaca untuk berfikir secara kritis, bertindak secara rasional, dan menyumbang ke arah pembentukan komuniti yang lebih harmoni.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MIHARAINI MD GHANI
Dr Miharaini Md Ghani
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI