fb fb fb fb fb

G.R.A.F.t formula kenal, ingat kesalahan rasuah

Foto Hiasan/ BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Perkataan rasuah berasal daripada Bahasa Arab "risywah" yang membawa maksud sogokan atau pujukan.

Secara umumnya, rasuah difahami sebagai perbuatan memberi atau menerima suapan bertujuan supaya seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Walaupun sering dikaitkan dengan perbuatan memberi dan menawar suapan, kesalahan rasuah menurut undang-undang adalah lebih luas.

Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) memperuntukkan perbuatan-perbuatan yang menjadi kesalahan rasuah.

Akta itu juga menyenaraikan bentuk-bentuk suapan seperti wang, hadiah, diskaun, bonus, pinjaman, perkhidmatan dan lain-lain.

Kenapa G.R.A.F.t?

Perkataan graft mempunyai maksud tersendiri. Graft adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud rasuah.

Cambridge Dictionary mendefinisikan graft sebagai “perbuatan mendapatkan wang atau kelebihan melalui penyalahgunaan kuasa dan pengaruh politik secara tidak jujur” (the act of getting money or advantage through the dishonest use of political power and influence).

Formula G.R.A.F.t boleh membantu orang awam atau sesiapa sahaja untuk kenal dan ingat kesalahan-kesalahan rasuah yang utama berdasarkan Akta SPRM 2009.

G.R.A.F.t merujuk kepada (1) Give bribe; (2) Receive bribe; (3) Abuse of power; (4) False claim; dan (5) Abet. Penjelasan lanjut adalah seperti berikut.

Lima kesalahan rasuah

Pertama, give bribe atau "beri suapan" merujuk kepada kesalahan menawar dan memberi suapan seperti mana diperuntukkan melalui Seksyen 16(b)(A), 16(b)(B) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu menawarkan atau memberikan suapan bertujuan untuk mendapatkan sesuatu melalui jalan yang salah. Pelaku kesalahan ini kebanyakannya terdiri daripada sektor swasta dan orang awam.

Contoh kesalahan ini adalah orang awam (atau sesiapa sahaja) menawarkan suapan kepada penguat kuasa untuk mengelakkan tindakan undang-undang; pihak syarikat memberi suapan kepada pegawai perolehan untuk mendapat projek; pembekal menawarkan suapan kepada pegawai kewangan untuk mempercepatkan proses tuntutan bayaran projek dan lain-lain lagi.

Walaupun sangat jarang, tetapi terdapat kes di mana kesalahan ini dilakukan oleh penjawat awam.

Contohnya, susulan Op Counter Setting yang dilaksanakan SPRM sekitar September 2024, beberapa penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan rasuah.

Salah seorang dari pegawai JIM tersebut didakwa kerana menawarkan suapan RM2,000 kepada seorang lagi pegawai JIM. Tujuan rasuah adalah sebagai upah memudahkan urusan kemasukan warganegara asing ke Malaysia melalui kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Beliau dihadapkan ke mahkamah pada 3 Januari 2025.

Kedua, receive bribe merujuk kepada kesalahan meminta dan menerima suapan, seperti mana diperuntukkan melalui Seksyen 16(a)(A), 16(a)(B), dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu meminta atau menerima suapan sebagai ganjaran melakukan sesuatu perkara yang salah atau tidak mengikut peraturan.

Penjawat awam terutamanya yang bertugas dalam bidang penguatkuasaan, perolehan dan pelesenan sangat berisiko untuk terjebak dengan kesalahan ini.

Faktor utama adalah kerana mereka mempunyai kedudukan, kuasa dan peluang untuk memperoleh suapan daripada pihak yang berurusan dengan agensi awam.

Kesalahan meminta dan menerima suapan juga berlaku di sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana orang. Habuan rasuah adalah pelbagai.

Antara contoh kes menarik adalah melibatkan seorang wartawan yang dihadapkan ke mahkamah pada 14 Mac 2025 kerana rasuah. Beliau didakwa menerima suapan RM20,000 daripada seorang warga Pakistan pada 28 Februari 2025.

Tujuan rasuah adalah untuk memadam dan tidak memuat naik artikel mengenai sindiket pekerja asing di sebuah portal berita.

Ketiga, abuse of power merujuk kepada perbuatan menggunakan jawatan awam untuk mendapat suapan, diperuntukkan melalui Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kesalahan itu juga dikenali sebagai salah guna kuasa oleh pegawai awam. Seperti namanya, ia hanya melibatkan "pegawai awam". Pegawai awam bermaksud, mana-mana orang yang berkhidmat di agensi kerajaan atau organisasi atau syarikat yang dimiliki oleh kerajaan.

Kesalahan salah guna kuasa berlaku apabila, seseorang pegawai awam membuat sesuatu keputusan atau mengambil apa-apa tindakan yang dapat menguntungkan dirinya atau keluarganya.

Ilustrasi mudah bagi kesalahan ini adalah, pegawai agensi kerajaan memilih atau mencadangkan syarikat milik ahli keluarganya untuk dianugerahkan sesuatu projek.

Contoh kes sebenar pula adalah seperti berikut. Pada 18 Ogos 2024, seorang Penolong Kanan Penguasa Bomba dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM172,000 selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan salah guna kuasa.

Tertuduh didakwa telah menyalah guna kuasanya dengan mencadangkan pemilihan syarikat milik ibu mentua dan adik iparnya bagi tiga perolehan berikut pembekalan 60 unit antenna dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100; pembekalan 31 unit kompas bernilai RM7,440; dan pembekalan 10 unit jaket keselamatan dan 20 unit wet suit bernilai RM17,000.

Pegawai awam diingatkan agar berhati-hati dengan kesalahan salah guna kuasa ini.

Sekiranya ahli keluarga memasuki tender atau sebut harga di organisasi anda, dua perkara wajib dilaksanakan. Pertama, mengisytiharkan kepentingan dan hubungan anda. Kedua, tidak terlibat langsung dalam sebarang proses pemilihan dan pembuatan keputusan.

Keempat, false claim merujuk kepada perbuatan mengemukakan tuntutan palsu, seperti mana diperuntukkan melalui Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi maklumat tidak benar (palsu) kepada sesebuah pejabat (sama ada agensi kerajaan atau swasta).

Tuntutan palsu dibuat bagi mendapat keuntungan peribadi. Secara mudahnya, kesalahan berlaku apabila tuntutan bayaran bagi barang, kerja atau perkhidmatan adalah tidak sama dengan pembekalan sebenar.

Tuntutan palsu boleh berlaku dalam beberapa keadaan, sama ada barang, kerja atau perkhidmatan tidak dibekalkan langsung; atau dibekalkan pada kuantiti yang kurang; atau tidak mengikut spesifikasi seperti mana dinyatakan dalam dokumen tuntutan.

Contoh kes sebenar adalah seperti berikut. Pada 6 Julai 2023, seorang bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta selepas didapati bersalah atas 15 pertuduhan salah guna kuasa, 17 pertuduhan tuntutan palsu, dan 64 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi 17 kesalahan tuntutan palsu, beliau didakwa bersubahat dengan tiga kontraktor untuk mengelirukan Majlis Sukan Negara melalui surat arahan palsu "Pembayaran Melalui Akaun Kementerian di Majlis Sukan Negara", sedangkan tiada sebarang kerja dan pembekalan dilakukan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu adalah sebanyak RM36.3 juta.

Kelima, abet yang merujuk kepada perbuatan bersubahat untuk melakukan empat kesalahan yang telah dijelaskan sebelum ini iaitu menawar dan memberi suapan; meminta dan menerima suapan; mengemukakan tuntutan palsu; dan salah guna kuasa oleh pegawai awam.

Kesalahan bersubahat diperuntukkan melalui Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009. Bersubahat merangkumi perbuatan membantu, terlibat dalam persediaan, menghasut, berkonspirasi, atau turut serta dalam perbuatan rasuah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kesimpulan menjadi manusia berintegriti atau korup adalah atas pilihan diri sendiri.

Walau apa sahaja usaha dilakukan oleh SPRM, sama ada penguatkuasaan, pencegahan atau pendidikan, akhirnya, kesedaran dan kewarasan individu itu yang mencegah seseorang itu daripada terlibat rasuah.

Tidak memadai hanya memahami kesalahan-kesalahan rasuah, tanpa pengamalan sikap jujur, amanah dan tidak mengambil hak orang lain.

Formula G.R.A.F.t hanya bersifat pendidikan. Bagi mereka yang benar-benar benci dan berazam untuk tidak terlibat rasuah, formula ini akan memberi panduan.

Lebih baik belajar, sebelum terlambat. "Tidak tahu" bahawa itu adalah kesalahan rasuah, tidak boleh menjadi alasan sekiranya ditangkap SPRM.

Sekiranya anda menganggap negara kita mempunyai masalah rasuah yang serius, sebenarnya anda mempunyai peranan untuk menjadikan negara kita lebih baik.

Caranya sangat mudah. Hindari semua bentuk rasuah! Sebagai rakyat Malaysia yang bermimpikan negara bebas rasuah, laporkan pelakuan rasuah kepada SPRM.

Tindakan "tidak mahu jaga tepi kain orang" tidak akan membantu mengurangkan jenayah rasuah. Bercakap tanpa tindakan, umpama "tin kosong". Justeru, buktikan dengan perbuatan!

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

1005 PORTAL KOLUMNIS GRAF FORMULA
Mohamad Tarmize Abdul Manaf,
Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj), 
Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM