fb fb fb fb fb

Nadi rakyat, kini di hujung jari

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dunia digital telah mengubah cara kita berkomunikasi, dan keupayaan menyampaikan mesej dengan berkesan kini menjadi aset yang tidak ternilai. Dahulu, mengukur sentimen rakyat terhadap sesuatu isu merupakan proses yang memakan masa serta terhad skopnya. Misalnya melalui bancian, surat pembaca di akhbar, tinjauan fizikal, atau perbincangan umum di kedai kopi.

Namun, kemunculan media sosial telah mengubah corak memahami dan menilai naratif sentimen masa kini. Nadi emosi rakyat kini boleh diukur secara langsung dan dalam masa nyata, hanya dari hujung jari mereka.

Statistik Digital 2025 Malaysia menunjukkan terdapat 25.1 juta pengguna aktif media sosial, iaitu bersamaan 70.2% daripada jumlah populasi, dengan purata penggunaan sebanyak 2 jam 40 minit setiap hari. Angka ini menggambarkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam kehidupan digital rakyat Malaysia.

Setiap hari, berjuta-juta pengguna meluahkan pandangan, pengalaman, dan perasaan mereka terhadap isu-isu semasa. “Suara awam” atau “suara pelanggan” ini adalah sebuah lombong emas yang menunggu untuk digali.

Suara Rakyat di Media Sosial

“Hebatnya!”, “Jangan kecam, Tegur elok-elok”, “Bagus cadangan ini”, “Teruskan usaha” antara ulasan yang sering muncul di media sosial. Platform ini memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk menyuarakan pandangan, kritikan, dan sokongan terhadap pelbagai perkara.

Daripada memahami mengapa pengguna menyukai atau tidak menyukai sesuatu perkhidmatan atau produk, hinggalah mengukur reaksi rakyat terhadap isu semasa, kecerdasan buatan (AI) kini digunakan melalui analisis sentimen. Kaedah ini membolehkan naratif sentimen dikenal pasti dengan tepat dan pantas melalui data teks yang dihantar di media sosial. Ledakan media sosial membolehkan sentimen rakyat dapat diukur secara masa nyata.

Analisis sentimen atau perlombongan pendapat (opinion mining) merupakan aktiviti memproses data raya, khususnya data teks yang berskala besar, secara automatik. Teknologi AI ini mampu mengenal pasti dan mengukur pendapat atau emosi sama ada positif, negatif, atau neutral. Justeru, analisis sentimen berfungsi sebagai “telinga digital” yang mendengar perbualan dalam talian.

Analisis Sentimen: Mendengar Setiap Suara

Kelebihan utama analisis sentimen ialah kemampuannya memecahkan batasan kaedah lama. Setiap suara di media sosial dapat didengar dan dianalisis. Ini membolehkan kerajaan atau pihak berkepentingan memahami bukan sahaja apa yang difikirkan oleh masyarakat, tetapi juga bagaimana mereka berasa tentang isu-isu penting.

Dalam era digital ini, nadi rakyat tidak lagi diukur hanya di dewan perhimpunan, tetapi di skrin telefon pintar dan komputer. Analisis sentimen memberikan maklum balas segera dan berterusan. Sebagai contoh, analisis terhadap perbincangan di media sosial mengenai sesuatu dasar boleh menunjukkan penerimaan rakyat secara serta-merta.

Hal ini membolehkan pihak berkaitan mengesan sentimen positif atau negatif pada peringkat awal, lalu membuat penambahbaikan atau penjelasan tambahan dengan segera. Selain itu, analisis sentimen dapat mengenal pasti trend atau isu viral yang hangat diperkatakan.

Dalam era digital, isu boleh muncul dan menjadi tular dalam hanya beberapa jam. Dengan memahami pola lepas, pihak berkepentingan dapat meramalkan perkembangan isu secara lebih strategik. Misalnya, peningkatan mendadak sentimen negatif mengenai perkhidmatan awam boleh menjadi amaran awal agar masalah segera ditangani.

Analisis sentimen juga meningkatkan keberkesanan komunikasi kerajaan, organisasi, atau individu. Sebagai contoh, apabila sebuah agensi kerajaan melaksanakan kempen kesihatan awam, analisis sentimen mungkin mendapati mesej tersebut positif di kalangan golongan muda, tetapi kurang diterima oleh golongan berusia. Dengan maklumat ini, mesej boleh disesuaikan mengikut kumpulan audiens sasaran dengan strategi komunikasi yang lebih berkesan.

Rakyat Sebagai Sumber Data Sentimen

Peranan rakyat dalam media sosial kini bukan lagi sekadar pengguna pasif. Mereka adalah pencipta kandungan, pengulas, dan penggerak utama sentimen digital negara. Setiap hantaran sama ada kritikan terhadap harga barang, pujian kepada perkhidmatan awam, atau ungkapan kegembiraan terhadap sesuatu inisiatif menjadi input penting untuk sistem analisis sentimen.

Rakyat ialah nadi analisis sentimen. Apabila mereka berinteraksi melalui komen atau perkongsian, mereka turut menggerakkan dan memperkukuh sentimen sedia ada sehingga tersebar lebih meluas. Peranan rakyat dalam membetulkan naratif amat penting untuk memastikan maklumat benar dan tepat dikongsi. Tindakan ini membolehkan analisis sentimen lebih fokus kepada kepentingan semua pihak.

Oleh itu, analisis sentimen boleh dianggap sebagai “cermin digital” yang mencerminkan secara langsung apa yang difikirkan, dirasai, dan dibincangkan rakyat. Kejayaan transformasi digital ini bukan sahaja bergantung pada keupayaan teknologi memahami sentimen, tetapi juga pada peranan aktif rakyat dalam menyuarakan pendapat mereka. Dalam era digital ini, setiap rakyat ialah sumber data, dan setiap suara memainkan peranan penting dalam membentuk naratif negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

2808 DR NORATIKAH NORDIN
Dr. Noratikah Nordin
Pensyarah Komunikasi Digital,
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI