fb fb fb fb fb

Ibadah korban, jangan kita jadi korban

Pasar Kaa'kia, Mekah menawarkan haiwan ternakan daripada sekecil kambing sehingga sebesar unta jemaah haji mengerjakan ibadah korban/Foto hiasan - BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Ibadah korban adalah amalan tahunan yang sangat dianjurkan dalam Islam, khususnya sempena Hari Raya Aidiladha. Ia disyariatkan dengan pelbagai hikmah sama ada bersifat rohani atau pun kehartaan. Ibadah korban dapat menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah seperti bakhil, rakus dan tamak.

Selain itu, ibadah korban juga dapat meningkatkan pengambilan protein dalam masyarakat Islam melalui pemakanan daging merah. Ia turut mengorbankan rasa sayang terhadap harta dan dapat berkongsi rezki dengan pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan kaya atau miskin.

Namun begitu, kesucian ibadat ini dicemari dengan pelbagai bentuk penipuan (scam) terutamanya dalam era teknologi digital dan kecanggihan media sosial baharu. Situasi ini berpunca daripada faktor tolak dan tarik. Faktor tarik berlakunya penipuan ini kerana beberapa alasan:-

  1. Para peserta (orang yang berkorban) ingin mendapatkan tawaran harga haiwan korban yang murah dan di bawah harga pasaran. Sikap berkira-kira dan bakhil ini menyebabkan mereka terjerumus dalam skim penipuan.
  2. Kaedah korban yang mudah dan cuci tangan kerana orang yang berkorban tidak perlu fikirkan tentang haiwan korban, proses sembelihan dan agihan daging korban.
  3. Promosi besar-besaran di media sosial baharu. Pihak scammer memanfaatkan penggunaan media sosial baharu dalam pemasaran pakej korban khususnya di luar negara. Mereka menggunakan pengiklanan berbayar untuk menarik peserta korban.
  4. Penggunaan selebriti agama atau agamawan bagi meyakinkan para peserta untuk berkorban. Perlantikan duta ini menarik minat para peserta kerana kepercayaan penuh terhadap mereka yang mustahil akan bersekongkol dengan scammer.

Sedangkan faktor tolak pula disebabkan tiada kesedaran tentang taktik penipuan golongan scammer dan tiada tabayyun atau verifikasi terhadap syarikat yang menguruskan ibadah korban tersebut. Ini menyebabkan mereka mudah ditipu.

Semakin mendekati hari raya Aidil Adha, semakin banyak pengiklanan berkaitan pakej korban di luar negara. Modus operandi yang digunakan hampir sama dengan pakej penipuan berwajah keagamaan lain, iaitu menawarkan harga yang murah dan tidak munasabah, bermula dari RM200.00 bagi satu bahagian lembu, iaitu bersamaan RM1400.00 bagi satu ekor lembu.

Harga ini bagaikan langit dan bumi jika dilakukan di Malaysia, bermula sekitar RM500.00-RM900.00 bagi satu bahagian korban lembu. Sedangkan di pasaran dunia, harga daging tidak begitu murah sama di negara Arab, India atau Afrika. Sekiranya harga lembu begitu murah, pasti menjadi rebutan pelbagai pihak untuk memperolehinya.

Apa yang dibimbangi, sama ada lembu yang dikorban adalah tidak cukup umur, tidak sihat, terbantut atau tidak mempunyai daging yang sesuai. Harga yang tidak realistik ini menyebabkan ramai yang terpedaya.

Bentuk penipuan ini juga melibatkan pakej korban palsu dan tiada haiwan korban khusus disembelih. Mereka menggunakan gambar dan video yang diedit untuk meyakinkan peserta korban di samping menyediakan cenderahati serta sijil sebagai bukti korban dijalankan. Plakad nama peserta yang digunakan ditukar ganti bagi haiwan yang sama.

Turut membimbangkan adalah wakalah untuk menguruskan dan menyembelih haiwan korban jika melibatkan negara-negara tertentu. Ia juga melibatkan isu pemantauan pihak penganjur atau syarikat terhadap perlaksanaan ibadah korban, status haiwan korban yang sihat dan cukup umur serta proses pengagihan daging korban kepada mereka yang berhak.

Ingatlah para penipu dalam ibadah korban supaya berhati-hati kerana penipuan ini mengundang murka Allah SWT dan boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai, dan mampu mencemarkan kesucian ibadat korban tersebut.

Ia termasuk dalam perbuatan yang dilarang dan diharamkan di samping termasuk dalam kategori khianat terhadap amanah yang dititipkan. Ia adalah dosa besar. Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan tentang penipuan ini dengan sabda Baginda, maknanya: Barang siapa menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. (HR Muslim)

Sehubungan dengan itu, bagi peserta korban, pilihlah untuk berkorban di tempat yang yang meyakinkan. Jika ingin berkorban di luar negara, pastikan memilih syarikat yang berintegriti dan amanah dalam melaksanakan ibadah korban tersebut. Manakala bagi pihak yang menguruskan ibadah korban, ada beberapa perkara yang perlu menjadi perhatian, seperti berikut:-

  1. Fahami konsep wakalah, pihak-pihak dan jenis akad yang terlibat sepanjang ibadah korban berlangsung.
  2. Pantaulah kelayakan atau kemampuan tukang sembelih dan alat sembelih yang digunakan agar sembelih sah di sisi syarak.
  3. Pantau haiwan korban yang dikorbankan sama ada cukup syaratnya seperti sihat, tidak terlalu kurus, tidak cacat dan cukup umur.
  4. Pantau proses sembelihan yang berlangsung sama ada sah ataupun tidak, dan ibadah korban benar-benar dilaksanakan atau tidak.
  5. Pantau juga proses pengagihan agar tiada monopoli dan penyorokan daging korban. Jangan lepas tangan dengan sekadar membayar wang kepada pihak ketiga yang dipilih untuk melaksanakan ibadah korban tersebut. Ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh peserta korban.

Jelas, ibadah korban adalah satu tuntutan kepada setiap orang Muslim berkemampuan. Para peserta ibadah korban bebas untuk melaksanakan sendiri atau mewakikan pihak kedua dan mereka juga bebas untuk memilih berkorban di dalam negara atau luar negara. Justeru, pilihlah pihak yang benar-benar amanah dan bukan hanya bergantung kepada sekeping gambar atau cuplikan video semata-mata.

Khulasah atau secara ringkasnya, scammer ibadah korban bukan sahaja satu jenayah dari sudut perundangan, juga perbuatan yang salah dalam hukum Islam, bahkan ia merupakan pengkhianatan terhadap ibadah yang suci. Umat Islam perlu lebih berwaspada dan teliti dalam menjayakan ibadah korban agar tidak menjadi korban kepada sindiket penipuan yang berselindung di sebalik agama kerana sesungguhnya penipuan yang bertopengkan agama akan menjadi pelaris yang terbaik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI