SAUDARA PENGARANG
Apabila seseorang dimaklumkan bahawa mereka perlu menjalani pembedahan, mungkin yang pertama terlintas di hati adalah: “Risikonya besar ke?” atau “Bius nanti bangun ke tidak?”
Di sebalik tirai bilik bedah, mungkin tidak ramai yang perasan dan mengetahui apakah peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang doktor bius – atau dalam istilah sebenar, dikenali sebagai pakar anestesiologi.
Mereka sebenarnya bukan sekadar “tukang tidur dan jaga nafas”, tetapi penjaga nyawa yang bekerja secara senyap, merancang setiap detik dengan teliti, bersedia untuk segala kemungkinan, termasuk yang paling menakutkan, krisis di dalam dewan pembedahan.
Pengurusan Krisis Penting Dalam Bidang Bius
Setiap pesakit yang masuk ke dalam dewan bedah mempunyai profil kesihatan yang berbeza-beza walaupun pembedahan yang ingin dilakukan mungkin sama sahaja.
Justeru, setiap pesakit akan dinilai terlebih dahulu dari pelbagai aspek seperti sejarah penyakit, bacaan darah, keadaan jantung, paru-paru, fungsi buah pinggang, jenis pembedahan yang bakal dijalani, ubat-ubatan yang diambil, dan banyak lagi.
Berdasarkan analisa inilah, doktor bius akan merancang "mode of anesthesia" sama ada pesakit dibius penuh, separuh, atau hanya kawasan tertentu sahaja. Setelah itu, doktor akan menerangkan kepada pesakit dan keluarga tentang risikorisiko yang mungkin berlaku, serta langkah-langkah yang akan diambil untuk menguruskannya.
Ini termasuk kemungkinan berlaku tekanan darah merosot, jantung berhenti, atau pendarahan yang banyak terutamanya untuk kes-kes yang berisiko tinggi. Semua ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk memberi kefahaman bahawa rawatan ini ada risikonya, dan pasukan perubatan bersedia menghadapinya.
Di Sebalik Keselamatan Pesakit, Ada Pasukan Bersatu
Namun begitu, keselamatan pesakit bukan hanya bergantung kepada seorang doktor. Ia hasil gabungan ilmu, latihan, pengalaman dan kerjasama antara doktor bius, pakar bedah, jururawat, juruteknik, staf sokongan dan yang paling penting, pesakit itu sendiri.
Bayangkan sebuah orkestra. Setiap anggota pasukan ada instrumen dan peranan mereka. Jika seorang tersalah nada, kesannya terasa.
Dalam dunia pembedahan, kesilapan boleh membawa padah. Justeru komunikasi, kepercayaan, dan kejelasan antara semua pihak adalah kunci utama dalam menentukan keselamatan seseorang pesakit sepanjang pembedahan.
Oleh kerana itulah, setiap pembedahan perlu dirancang dan dianalisa sebaik mungkin tentang kebaikan dan risikonya agar perkara yang tidak diingini dapat ditangani dengan lebih baik.
Peranan Masyarakat Dalam Menjaga Keselamatan Rawatan
Mungkin ada yang menyangka, apabila masuk hospital, bermaksud menyerah diri kepada doktor dan doktor akan melakukan segala perkara mengikut pertimbangannya sahaja.
Bukan begitu, hakikatnya, pesakit dan keluarga juga memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu prosedur dapat dilakukan dengan selamat.
Memberi maklumat yang tepat, mengikuti nasihat praoperatif seperti berpuasa, menghentikan ubat tertentu, atau memberi kerjasama dalam rundingan sangat membantu melancarkan rawatan. Sebarang kesilapan dalam penyampaian maklumat boleh membawa kepada kesilapan analisa dan pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan.
Namun malangnya, apabila berlaku satu-satu krisis, contohnya pesakit mengalami komplikasi semasa pembedahan, fokus masyarakat kadang kala lebih kepada mencari salah: siapa cuai? siapa patut disaman? Memang benar, tidak semua perawat itu sempurna.
Seperti setandan pisang, ada yang busuk. Tapi menghukum seluruh sistem kerana segelintir kesilapan bukanlah jalan penyelesaian. Bila terlalu mudah untuk menyalahkan, menyaman dan hilang kepercayaan kepada sistem, yang rugi adalah kita semua kerana rawatan yang baik memerlukan keyakinan dan kerjasama dari semua pihak.
Krisis Bukan Milik Doktor Sahaja
Apabila krisis berlaku, doktor akan bertindak sepantas mungkin, menggunakan segala ilmu dan latihan mereka namun mereka juga manusia. Mereka bekerja bawah tekanan, sering dalam keadaan tidak cukup rehat, kadang-kadang dengan emosi yang bergolak kerana rasa tanggungjawab yang besar.
Bayangkan, di saat nyawa pesakit tergantung antara hidup dan mati, doktor tidak punya banyak masa untuk menuding jari. Mereka hanya ada satu matlamat, iaitu menyelamatkan nyawa.
Justeru, masyarakat perlu hadir bukan sebagai pengkritik, tetapi sebagai penyokong. Kerana apabila krisis berlaku, ia bukan hanya ujian kepada doktor, tetapi juga ujian kepada kita sebagai komuniti: adakah kita akan saling menyalahkan, atau saling menyokong antara satu sama lain?
Elak Menuding Jari, Bersama-sama Hulur Tangan
Di dunia yang semakin kompleks ini, krisis dalam perubatan mungkin tidak dapat dielakkan namun bagaimana kita menghadapinya adalah pilihan kita. Mari kita bina semula kepercayaan antara masyarakat dan perawat.
Mari kita sedar bahawa keselamatan rawatan bukan hanya terletak di tangan doktor, tetapi di tangan kita semua, pasukan perubatan, pesakit, keluarga, dan masyarakat. Kerana apabila kepercayaan wujud, krisis akan menjadi ruang untuk kita saling membantu, bukan saling menyalahkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Pakar Anestesiologi dan Unit Rawatan Intensif
Hospital Sultan Zainal Abidin
E-mel: