SAUDARA PENGARANG
Dalam dunia yang bergerak pantas sepantas denyut data dan semaju ciptaan algoritma, satu perkara yang semakin jelas adalah kecerdasan buatan (AI). Ianya bukan lagi bayangan atau angan-angan futuristic, tetapi kini sebagai satu wadah baharu dalam sistem pendidikan global.
Namun, di sini terciptanya satu garis panduan yang menentukan antara revolusi dan kehancuran: Sejauh mana pengguna menggunakan AI dengan bijak?
AI Rakan Pedagogi, Bukan Pengganti Guru
Sebilangan orang yang skeptikal menyatakan bahawa “AI akan melenyapkan profession seorang guru.” Sama seperti mengatakan kalkulator akan menamatkan kerjaya seorang pakar matematik.
Hakikatnya, apabila AI digunakan dengan cermat dan beretika, AI berupaya menjadi pembantu yang sangat praktikal. Bayangkan guru di sekolah luar bandar contohnya di Sabah dapat mengakses kepada tutor AI yang mampu menjelaskan fizik quantum sejelas-jelasnya. Atau pelajar disleksia yang akhirnya memahami bacaan melalui alat bantu AI berasaskan suara. Inilah peluang sebenar, AI memperkasakan manusia dengan teknologi, bukan menggantikannya.
Pembelajaran Peribadi: Antara Impian dan Realiti
Setiap pelajar adalah unik berdasarkan gaya pembelajaran atau “learning stlye” masing-masing. Satu kebenaran yang selama ini cuba disesuaikan dalam sistem masa kini iaitu: ‘satu cara untuk semua’. AI mengubah tanggapan itu. Menerusi analisis corak pembelajaran, keupayaan mengenal pasti kelemahan pelajar, dan cadangan kandungan bersasar, AI membuka ruang kepada pendidikan yang disesuaikan mengikut kadar dan gaya setiap individu tersebut.
Di Korea Selatan, sistem AI yang dikenali sebagai Riiid! membantu pelajar bersedia untuk peperiksaan dengan menyesuaikan soalan mengikut tahap kebolehan semasa. Di Malaysia, apakah kita bersedia mencipta versi kita sendiri?
Algoritma Boleh Menilai, Siapa Menilai Algoritma?
Teknologi tanpa etika adalah pedang tanpa sarung. Ketelusan algoritma, privasi data pelajar, dan kebergantungan mutlak kepada teknologi adalah isu besar dan tidak boleh dipandang enteng. Sistem pendidikan harus menetapkan garis panduan tegas — seperti memastikan AI bukan sahaja boleh dipercayai, tetapi patut dipercayai sekiranya digunakan secara beretika.
Malaysia mesti melabur dalam pembangunan AI beretika. Ini bermakna membangunkan sistem secara inklusif, telus, dan mematuhi prinsip keadilan pendidikan. Guru harus dilatih bukan hanya untuk menggunakan AI, tetapi untuk memimpin seterusnya menggunakannya dengan bijak dan saksama.
Dari Retorik ke Realiti: Apa Perlu Dilakukan Sekarang
Jika benar kita mahu pendidikan kita berubah secara positif melalui AI, maka tindakan konkrit perlu dimulakan hari ini, merangkumi:-
Latihan Guru AI Literasi – Setiap guru perlu memahami asas AI, bukan sebagai pengguna pasif, tetapi sebagai modal insan intervensi pedagogi.
Infrastruktur Teknologi Harus Sekata – Jurang digital antara bandar dan luar bandar mesti diperhalusi. Akses internet bukan lagi kemudahan; ia hak pendidikan untuk setiap rakyat.
Sistem Penilaian Secara Adaptif – Mencipta model peperiksaan satu dimensi. AI boleh bantu membina penilaian berasaskan kemahiran sebenar — pemikiran kritis, empati, dan kreativiti.
Kawal Selia dan Pengenalan Polisi Beretika – Kementerian Pendidikan perlu memperkenalkan garis panduan kebangsaan untuk penggunaan AI dalam pendidikan, dengan penglibatan pelbagai pihak iaitu guru, pelajar, ibu bapa, dan pakar teknologi.
Kerjasama agensi Awam dan Swasta – Kolaboratif teknologi tempatan dan antarabangsa harus dilibatkan dalam membangunkan penyelesaian AI yang mampu milik dan berorientasikan pendidikan nasional.
Kesimpulannya, sejauh mana kita mengambil cakna tentang kesediaan penerimaan dan penggunaan teknologi AI dalam kehidupan seharian kita. Tiada lagi persoalan seperti perlu atau tidak menggunakan AI dalam pendidikan, tetapi bagaimana kita menggunakannya dengan bijak.
Hakikatnya, jika AI digunakan dengan betul dan beretika, AI bukan hanya alat bantu; sebaliknya menjadi katalis perubahan sistemik bagi tujuan memperkasa guru, menyokong pelajar, dan memperkukuh impian Malaysia menuju masa depan pendidikan bertaraf dunia.
Sekiranya kita masih ragu, ingatlah satu perkara: Teknologi sentiasa mencerminkan penggunaannya. Maka biarlah ia mencerminkan kebijaksanaan kita. Ini memastikan AI kekal sebagai alat yang terkawal dan selari dengan matlamat pendidikan nasional, bukan sekadar trend teknologi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah,
Universiti Sains Islam Malaysia