SAUDARA PENGARANG
Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, yang berlangsung pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah kewartawanan tanah air. Dengan menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, terutamanya rantau ASEAN, HAWANA 2025 bukan sahaja meraikan jasa wartawan, malah membentuk hala tuju baharu dalam menghadapi cabaran landskap media kontemporari yang semakin kompleks.
HAWANA 2025 mengambil pendekatan strategik dengan mengukuhkan hubungan antara organisasi media di rantau ASEAN. Langkah ini penting dalam memastikan pertukaran maklumat yang lebih tepat, cepat dan beretika dalam era globalisasi maklumat. Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa sambutan kali ini juga selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menjadikan platform HAWANA sebagai ruang diplomasi media yang proaktif.
Sesi dialog rentas negara, forum bersama dan bengkel kerjasama berita rentas sempadan akan diadakan bagi menelusuri isu bersama. Isu yang dijangka diketengahkan termasuk keselamatan wartawan, kawalan berita palsu merentas sempadan dan pembangunan kapasiti wartawan muda serantau.
Pengamal media dari Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan negara-negara jiran lain dijangka menyertai sesi kolaboratif ini, membawa naratif ASEAN yang lebih menyeluruh dan inklusif.Isu- isu berkenaan dilihat siginifikan di samping cabaran era geopolitik yang semakin mencabar.
Justeru, media perlu menjadi jambatan yang menghubungkan, bukan tembok yang memisahkan. Inisiatif seperti “ASEAN Media Corridor” yang diterajui Malaysia sebagai pengerusi ASEAN menunjukkan keseriusan Malaysia memimpin hala tuju komunikasi serantau yang progresif dan berdaya saing.
Menangani Cabaran Era Digital: Antara AI dan Etika
Revolusi digital telah mengubah cara wartawan mengumpul, memproses, dan menyampaikan maklumat. Namun, ia juga membawa bersama cabaran khususnya dalam aspek penyebaran maklumat palsu, manipulasi kandungan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan berita. Algoritma boleh menghasilkan berita, imej, bahkan video yang kelihatan ‘tulen’, tetapi tidak semestinya benar.
Ini adalah cabaran dan hakikat media masa kini, HAWANA 2025 akan mengupas persoalan tentang bagaimana wartawan dapat mengekalkan nilai-nilai kemanusiaan seperti empati, kejujuran, dan tanggungjawab sosial dalam era AI akan dibahaskan secara terbuka. Panel perbincangan yang terdiri daripada editor, pakar AI, ahli akademik dan wartawan lapangan dijangka memberi pencerahan kepada peserta, khususnya wartawan muda.
Selain itu, satu kod etika berkaitan AI diperlukan media tempatan sebagai panduan dalam memanfaatkan teknologi tanpa mengorbankan integriti. Di sinilah pentingnya elemen ‘literasi digital kewartawanan’ disemai bukan sahaja di ruang redaksi, tetapi juga di peringkat akar umbi institusi pendidikan kewartawanan.
Memartabatkan Warisan Budaya: Pantun dan Bahasa Dalam Wacana Media
HAWANA 2025 bukan sekadar ruang dialog profesional; ia juga menjadi pentas pemerkasaan budaya tempatan. Penganjuran Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 telah menjadi tarikan utama dalam menyemai minat terhadap bahasa dan seni tradisional. Pantun, sebagai bentuk puisi Melayu klasik yang sarat nilai, diangkat semula ke arus perdana melalui medium media.
Keterangkuman aktiviti ini melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa kewartawanan dan pengamal media, mencipta ruang lintas generasi untuk memahami makna komunikasi berbudaya. Ia juga selari dengan agenda MADANI negara yang menekankan nilai, keinsanan dan akar budaya dalam semua aspek pembangunan, termasuk media.
Lebih menarik, beberapa sesi dialog akan membincangkan bagaimana media boleh memainkan peranan dalam melestarikan bahasa dan budaya. Penggunaan istilah Melayu yang kreatif dalam laporan berita, penulisan naratif yang menggambarkan adat dan nilai setempat, serta dokumentari warisan akan diketengahkan sebagai contoh praktikal.
Pengiktirafan kepada Wartawan Sebagai Profesion yang Perlu Dihargai
Saban tahun, ribuan wartawan di Malaysia bekerja dalam tekanan masa, risiko keselamatan dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Namun, mereka jarang diberi penghargaan secara terbuka. HAWANA 2025 membawa sinar harapan kepada profesion ini apabila beberapa kategori Anugerah Kewartawanan Nasional akan diperkenalkan. Kategori yang dipertandingkan termasuk untuk wartawan luar bandar, wartawan penyiasat, dan wartawan muda terbaik.
Signifikan majlis penyampaian anugerah ini bukan sahaja sebagai simbol pengiktirafan, tetapi juga sebagai insentif moral kepada pengamal media untuk terus menghasilkan laporan berkualiti tinggi yang mempengaruhi dasar awam, membela nasib golongan terpinggir dan menegakkan kebenaran. Perdana Menteri dijangka hadir menyampaikan ucapan khas dan menyerahkan anugerah tersebut pada malam gala HAWANA 2025.
Wartawan Muda dan Pendidikan Kewartawanan
Satu lagi aspek penting HAWANA 2025 ialah fokus kepada pembangunan bakat muda. Dalam era TikTok, podcast dan media sosial yang bersifat hiper-cepat, wartawan muda perlu dibimbing agar tidak terjerumus dalam budaya sensasi tanpa nilai.
Terdapat juga cadangan penganjuran sesi khas Jelajah Siswa secara konsisten setiap tahun bersama universiti tempatan seperti UM,UPM UiTM, USM dan institusi luar seperti Nanyang Technological University bagi membincangkan kurikulum kewartawanan baharu yang inklusif, digital dan berpaksikan etika.
Program Wartawan Muda juga wajar digerakkan dengan lebih serius bagi melatih wartawan pelatih dalam laporan berbentuk data, kewartawanan penyelesaian dan liputan isu-isu inklusif seperti OKU, gender dan alam sekitar.
Peranan Media dalam Negara MADANI dan Rukun Negara
Media memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat, membina wacana yang sihat dan memelihara keharmonian negara majmuk seperti Malaysia. Dalam konteks Malaysia MADANI, media perlu menjadi agen pembinaan nilai – tidak hanya menyampaikan berita, tetapi mempromosi dialog, memahami perbezaan dan menjunjung prinsip Rukun Negara.
Lantas, penganjuran HAWANA 2025 dilihat akan memperkukuh peranan ini, menerusi perbincangan Kod Etika Wartawan Malaysia 2024, yang menggabungkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab sosial dalam setiap laporan. Wartawan bukan lagi hanya “penyampai maklumat”, tetapi pencorak naratif bangsa.
HAWANA 2025 bukan sekadar sebuah sambutan simbolik untuk memperingati jasa dan pengorbanan para wartawan negara, malah ia menjadi mercu tanda penting dalam usaha kolektif negara untuk memacu masa depan kewartawanan yang lebih progresif, inklusif dan beretika. Dalam era ledakan maklumat yang tidak bertepi, peranan wartawan bukan lagi hanya sebagai penyampai maklumat, tetapi juga sebagai penjaga kebenaran, pemangkin perubahan sosial, dan pencorak naratif negara bangsa.
Sambutan kali ini memperlihat dan mempertingkat perkongsian strategik antara negara-negara ASEAN dalam HAWANA 2025 menandakan permulaan era baharu kolaborasi media serantau yang lebih dinamik. Ia membuka ruang kepada pertukaran pengalaman, pemindahan teknologi serta pembentukan rangka kerja bersama dalam menangani isu-isu global seperti berita palsu, keselamatan wartawan dan pengaruh politik terhadap kebebasan media.
Malaysia, sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN tahun ini, mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi peneraju dalam memperkukuh ekosistem media rantau ini.
Pada masa sama, HAWANA 2025 telah memberi penekanan yang signifikan terhadap cabaran dan potensi teknologi digital. Dengan kewujudan kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih, dunia kewartawanan kini berada di persimpangan antara kecekapan mesin dan nilai-nilai kemanusiaan. Justeru, dialog terbuka dan pendidikan berterusan sangat penting agar wartawan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa menggadaikan etika serta integriti profesion mereka.
Selain aspek teknologi, penekanan terhadap budaya dan identiti tempatan seperti melalui Pesta Pantun dan penggunaan Bahasa Melayu dalam media arus perdana membuktikan bahawa kemajuan tidak semestinya mengorbankan akar budaya. Malah, media yang mampu mengangkat warisan bangsa ke peringkat global mempunyai nilai tambah yang tinggi dalam era komunikasi antarabangsa.
Selain itu, dalam konteks pengiktirafan dan pembangunan modal insan, usaha memberi penghargaan kepada wartawan dari pelbagai kategori termasuk wartawan luar bandar, wartawan penyiasat dan wartawan muda . Hal ini merupakan satu langkah berani dan bijaksana. Ia menunjukkan bahawa negara mengiktiraf kewartawanan sebagai satu profesion strategik yang menyumbang kepada pembangunan demokrasi, keadilan sosial dan kesedaran rakyat.
Paling penting, HAWANA 2025 telah membuka ruang untuk membina ekosistem kewartawanan melalui penggabungan nilai-nilai kemasyarakatan, tanggungjawab kolektif, dan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam penyampaian berita. Ini penting terutamanya dalam suasana masyarakat yang semakin rencam dan terdedah kepada pelbagai bentuk polarisasi, media yang bersifat inklusif dan adil sangat diperlukan bagi memastikan kesatuan dalam kepelbagaian terus dipelihara.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, HAWANA 2025 berjaya menjadi pentas untuk merangka semula masa depan kewartawanan di Malaysia melebihi aspek kandungan dan teknologi, turut merangkumi nilai, etika, dan peranan sosialnya. Ia adalah satu manifestasi bahawa profesion wartawan masih relevan, masih diperlukan, dan harus terus diperkasakan dalam mendepani zaman yang penuh ketidaktentuan ini.
Dalam menghadapi tahun-tahun mendatang, adalah menjadi harapan seluruh warga media agar momentum yang dibina melalui HAWANA ini dapat diteruskan melalui dasar-dasar kerajaan, kerjasama industri, dan sokongan masyarakat. Wartawan harus terus diberi ruang, kepercayaan dan perlindungan untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas, selamat dan bermaruah. Lalu, kita akan dapat menyemai dan menyuburkan sebuah ekosistem media yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga membina peradaban.
Dr Mastura Mahamed
Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial
Pensyarah Kanan,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Emel: