fb fb fb fb fb

‘Halal lestari’ peluang baharu Malaysia kuasai pasaran global

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Nama Malaysia dalam persada pengeluaran makanan dan keseluruhan rantaian bekalan industri halal tidak asing lagi. Melalui sistem pensijilan halal yang diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa, Malaysia telah berjaya mengembangkan ekosistem industri tersebut.

Namun, landskap ini sedang berubah. Pengguna dan pasaran kini semakin menuntut bukan sahaja produk halal dari segi hukum dan tayyiban, malahan lestari dari segi alam sekitar dan sosial. Di sinilah pentingnya gabungan dua arus besar, iaitu industri halal dan kelestarian.

Dalam konteks industri makanan dan logistik halal, ini bermakna amalan yang mengurangkan pembaziran makanan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pembungkusan mesra alam, dan pengangkutan yang lebih cekap tenaga.

Industri halal, yang selama ini bertumpu kepada kepatuhan syariah, perlu memperluas perspektif untuk turut merangkumi dimensi kelestarian. Dalam Islam, konsep halal sering digandingkan dengan tayyiban, dan ini membawa kepada satu tanggungjawab yang lebih menyeluruh, bukan hanya dari segi hukum tetapi juga dari sudut etika dan kesejahteraan sejagat.

Dengan menggabungkan prinsip lestari, pengeluar produk halal dapat memberikan nilai tambah yang signifikan, terutamanya dalam pasaran antarabangsa. Ini kerana negara-negara seperti Jepun, Jerman dan negara-negara Kesatuan Eropah kini meletakkan standard kelestarian sebagai sebahagian daripada penilaian kualiti produk.

Bayangkan jika Malaysia dapat menawarkan produk yang bukan sahaja halal, tetapi juga disahkan sebagai mesra alam dan bertanggungjawab sosial. Ini adalah peluang untuk memimpin satu kategori baharu dalam pasaran makanan global.

Konsep seperti Halal Lestari boleh dijadikan penanda aras baharu. Ia boleh menggabungkan prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) ke dalam rantaian nilai halal, dari ladang hingga ke pengguna. Ini termasuk pengelolaan sumber semula jadi, kebajikan pekerja, jejak karbon logistik, serta kemampanan pembungkusan dan pengurusan sisa.

Malaysia mempunyai infrastruktur dan institusi kukuh dalam industri halal seperti Halal Development Corporation Berhad (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta ekosistem logistik halal.

Langkah seterusnya adalah menyepadukan elemen Revolusi Hijau ke dalam dasar, latihan, dan pensijilan industri halal. Pensijilan seperti Halal Lestari boleh menjadi satu lagi jenama negara yang diyakini dunia.

Gabungan halal dan lestari bukan sekadar rekaan pemasaran. Ia adalah manifestasi komitmen kita terhadap agama, alam sekitar, dan masa depan negara.

Dalam semangat patriotik yang menekankan jati diri kebangsaan, tanggungjawab sosial, dan nilai murni, Malaysia mampu memimpin dunia bukan sahaja dalam pengeluaran halal, tetapi juga dalam mentakrifkan semula maksud halal yang inklusif dan mampan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR SUHANA MOHEZAR ALI
Prof Madya Dr Suhana Mohezar Ali
Ketua Jabatan Sains Pemutusan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI