SAUDARA PENGARANG
”Mereka bukan malas. Mereka bukan tak berpotensi. Tapi bila dunia yang ditawarkan terlalu jauh dari dunia mereka, bagaimana mereka mahu melangkah?"
Soalan ini berlegar dalam fikiran sebaik selesai mengikuti Program Siri Jelajah Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (FSS UIS) ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding baru-baru ini. Program itu bukan sahaja menyentuh isu keengganan pelajar menyambung pelajaran, tetapi lebih mendalam daripada itu ia menyentuh jurang komunikasi antara harapan dan realiti, antara cita-cita dan keyakinan, antara sekolah dan universiti.
Sebagai pemerhati, isu pendidikan dan komunikasi masyarakat punca sebenar pelajar tidak mahu menyambung pelajaran bukan hanya kerana faktor akademik atau kemiskinan semata-mata. Ada sesuatu yang lebih halus, tetapi sangat signifikan iaitu kekaburan arah. Ramai pelajar tidak nampak laluan masa depan mereka, dan kerana itu mereka berhenti melangkah.
Pendidikan Itu Perlu ‘Dirasa’, Bukan Sekadar Dicerita
Ramai pelajar luar bandar menganggap universiti sebagai sesuatu yang jauh, sukar, dan hanya sesuai untuk ‘budak pandai’. Malah ada yang menyangka, masuk universiti itu perlukan duit banyak, atau hanya untuk pelajar bandar yang “ada kabel”.
Justeru, apabila pelajar dan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS) sendiri yang dengan bersahaja, dan mesra tampil berkongsi kisah mereka, persepsi itu mula berubah. Ini kerana, buat pertama kalinya, mereka dapat ‘melihat’ universiti dalam bentuk manusia sebenar, bukan hanya di poster atau skrin.
Kenyataan itu barangkali kedengaran ringkas, tetapi implikasinya besar. Pendidikan tinggi perlu dirasakan sebagai sesuatu yang boleh dicapai bukan sesuatu yang hanya diceramahkan.
Di sinilah letaknya kekuatan program seperti ini. Ia bukan semata-mata memberi maklumat, tetapi menyampaikan mesej harapan dengan komunikasi empati. Pelajar tidak hanya melihat tayangan video atau mendengar ceramah motivasi, tetapi mereka berinteraksi dan mempraktikkan secara langsung melalui lensa kamera dan latihan skrip dengan dunia profesional yang sebelum ini asing bagi mereka.
Konsep ini bertepatan dengan prinsip dalam bidang komunikasi massa bahawa pesanan lebih berkesan apabila disampaikan oleh rakan sebaya atau ‘role model’ yang relatable. Ini juga selari dengan Model Penjelasan Kebarangkalian (Elaboration Likelihood Model) yang menunjukkan bahawa saluran periferal seperti keperibadian penyampai memberi kesan besar terhadap sikap penerima mesej.
Peranan Universiti dalam Ekosistem Pendidikan Menengah
Kebanyakan institut pengajian awam dan swasta kini sudah mula memperluas program khidmat komuniti mereka. Namun program seumpama ini wajar dijadikan model, kerana pendekatannya lebih menyeluruh, ia bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menyentuh jiwa pelajar itu sendiri.
Universiti perlu menjadi sebahagian daripada perjalanan pelajar sekolah bukan hanya di akhir garisan, tetapi dari awal. Ini bermakna kehadiran pensyarah dan pelajar universiti ke sekolah bukan untuk ‘merekrut’ semata-mata, tetapi untuk memulihkan kepercayaan diri, membuka cakrawala dan membina semula harapan.
Guru Kaunseling: Wira Sunyi yang Perlu Disokong
Antara kelemahan besar sistem masyarakat hari ini ialah kita terlalu cepat menghukum pelajar yang gagal atau lemah. Kita gelar mereka malas, tiada motivasi, tiada cita-cita. Sedangkan, jika ditanya secara mendalam, ramai antara mereka menghadapi pelbagai konflik dalaman tekanan keluarga, kewangan atau trauma.
Program ini juga menyerlahkan betapa pentingnya peranan guru kaunseling dalam membuka ruang intervensi. Tanpa sokongan guru kaunseling sekolah, program seperti ini mungkin tidak dapat diadakan secara terancang dan berimpak.
Namun dalam realiti semasa, guru kaunseling sering terbeban dengan tugasan pentadbiran, atau kekurangan sokongan dari luar. Oleh itu, pihak universiti boleh menjadi rakan strategik penting mengisi ruang yang tidak mampu digalas guru seorang diri.
Gabungan antara profesional pendidikan tinggi dan guru kaunseling boleh melahirkan satu bentuk intervensi yang bukan sahaja akademik, tetapi menyentuh keseluruhan kesejahteraan pelajar. Ini secara tidak langsung membuka ruang kesedaran bahawa isu pelajar tidak mahu menyambung belajar bukan isu individu, tetapi isu sistem yang memerlukan campur tangan pelbagai pihak.
Kementerian Pendidikan, institusi pengajian tinggi, NGO, komuniti setempat, bahkan media semuanya ada peranan. Program Jelajah FSS UIS ke SMK Dusun Nanding menjadi bukti bahawa apabila komunikasi, empati dan tindakan digabungkan, perubahan itu bukan sahaja mungkin, tetapi sudah mula berlaku.
Di Mana Harapan, di Situ Jalannya
Anak-anak kita tidak kekurangan impian. Mereka hanya perlukan seseorang untuk menunjukkan jalan dengan bahasa yang mereka fahami, dengan pendekatan yang menyentuh hati, dan dengan kehadiran yang tidak menghakimi.
Program seumpama ini memerlukan hati yang besar, niat yang tulus, dan kefahaman bahawa setiap anak, walau di ceruk mana sekalipun, berhak untuk percaya bahawa mereka juga mampu berjaya. Mereka bukan tak mahu belajar. Cuma, tak nampak arah, sehinggalah ada yang sudi tunjukkan jalan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Hazlin Falina Rosli
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor