SAUDARA PENGARANG
Umum mengetahui bahawa al-Quran merupakan kitab suci agama Islam yang tidak lapuk ditelan zaman. Jauh di lubuk hati sesiapa sahaja, pastinya timbul rasa gembira dan syukur apabila melihat anak-anak kecil mampu menyebut, membaca serta memahami ayat-ayat suci al-Quran.
Selain memberi nilai kerohanian dan emosi, persoalan yang sering timbul ialah apakah kepentingan mempelajari dan mengajar al-Quran sejak di peringkat akar umbi? Jika ibu bapa hari ini bimbang anak-anak mereka tidak mampu menguasai 3M atau 4M, sejauh mana pula kegusaran mereka terhadap literasi al-Quran dalam kalangan generasi muda?
Pembentukan Karakter dan Nilai Moral Sejak Kecil
Fenomena kepincangan akhlak dalam kalangan kanak-kanak generasi hari ini (Generasi Alpha) amat membimbangkan. Dalam perbualan sesama rakan, sering kali kedengaran kata-kata kesat, malah ada yang menggunakan bahasa lucah yang pedih didengar oleh ibu bapa.
Al-Quran yang dipelajari bukan sahaja sekadar lancar di bibir, bahkan menjadi benteng ampuh dalam diri. Anak-anak diibaratkan seperti span, mudah menyerap segala yang dipelajari baik di sekolah mahupun di rumah. Lidah yang sentiasa melazimi bacaan al-Quran akan lebih terjaga tutur katanya.
Pendedahan al-Quran sejak kecil mampu memupuk nilai-nilai murni seperti kasih sayang, tolong-menolong, kesabaran dan kejujuran secara semula jadi. Anak-anak yang dibentuk dengan akhlak al-Quran bukan sahaja disenangi masyarakat, malah menjadi cerminan generasi beradab tinggi dan sopan santun.
Perkembangan Bahasa Arab yang Lebih Intuitif
Secara tidak disedari, bacaan al-Quran membantu kanak-kanak menguasai bahasa Arab dari aspek struktur ayat (nahu), morfologi (pembentukan kata), mahupun sebutan (fonetik). Susunan ayat al-Quran yang indah dan bernilai sastera tinggi memberi kesan positif terhadap kemahiran bahasa anak-anak.
Kanak-kanak yang didedahkan dengan al-Quran lebih awal berpotensi menunjukkan tahap literasi lebih tinggi. Hal ini kerana pembelajaran mereka menggabungkan elemen visual (tulisan hijaiyyah), auditori (bunyi sebutan), dan kinestetik (gerakan lidah dan mulut ketika membaca). Elemen-elemen ini membantu pemetaan bahasa lebih konsisten berbanding individu yang baru diperkenalkan dengan bahasa Arab pada usia lanjut.
Hubungan Spiritual dan Manfaat Sosial
Ramai pernah menyaksikan anak kecil berhenti menangis apabila diperdengarkan ayat al-Quran atau zikir. Fenomena ini bukan kebetulan, tetapi bukti wujudnya ikatan emosional yang terbina secara tidak sedar. Proses ini dikenali sebagai internalisasi, iaitu pengalaman al-Quran tertanam dalam memori awal anak-anak dan menjadi sumber ketenangan sepanjang hayat.
Pembacaan al-Quran secara konsisten menjadikan jiwa lebih tenang, mudah menerima nasihat, tidak suka bertelagah, serta memuliakan sesama insan. Selain itu, rutin membaca al-Quran setiap hari melatih disiplin, fokus, dan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak.
Amalan ini turut memberi kesan domino positif dalam keluarga. Anak yang membaca al-Quran di rumah akan memberi inspirasi kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain. Dalam konteks sosial, mereka lebih yakin tampil membaca al-Quran di surau atau masjid, khususnya ketika majlis keagamaan seperti Khatam al-Quran atau Sambutan Nuzul Quran.
Kesan Kognitif dan Fosilisasi
Kajian antarabangsa mendapati kanak-kanak yang konsisten membaca, menghafal, dan mendengar al-Quran menunjukkan perkembangan kognitif lebih baik, khususnya dari aspek tumpuan, memori, dan pengurusan tekanan.
Irama bacaan al-Quran mampu memberi kesan syafasi (penyembuhan) kepada otak, merangsang pembentukan sel neural, serta membantu pembelajaran bahasa, matematik, dan sains di sekolah rendah.
Selain itu, pendedahan awal terhadap al-Quran dapat mengelakkan fenomena lidah keras – iaitu kesukaran menyebut fonem bahasa asing dengan tepat apabila usia meningkat. Seperti peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, usia kecil merupakan fasa kritikal terbaik untuk membiasakan lidah dengan bacaan al-Quran.
Cabaran dan Realiti
Namun, tidak semua keluarga mampu menyediakan persekitaran kondusif untuk pembelajaran al-Quran di rumah. Ada ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Ada juga yang tidak mahir membaca al-Quran, malah lebih membimbangkan, tidak berusaha menghantar anak-anak kepada guru mengaji.
Situasi ini amat berbahaya jika tidak dipantau kerana boleh mewujudkan rantaian kesan negatif dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Kesimpulan
Mempelajari al-Quran sejak awal usia bukan sekadar soal bacaan, tetapi membabitkan pembinaan nilai diri, peningkatan kecerdasan otak, serta pembentukan identiti rohani dan sosial yang unggul.
Jika anak-anak adalah harapan masa depan, maka memperkenalkan dan mengajar al-Quran secara konsisten sejak kecil adalah warisan dan saham akhirat yang paling berharga.
Di samping membentuk insan matang yang berilmu, berakhlak, dan berjiwa rohani, kita juga berpeluang memperoleh syafaat al-Quran di akhirat kelak.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Muhammad Ridha Ali Huddin
Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Arab
dan Bahasa-bahasa Timur Tengah
Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya
e-mel: