fb fb fb fb fb

Kopi dan kita: Sekadar minuman atau budaya sosial?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Pernahkah anda duduk di sebuah kedai kopi, membuka komputer riba, lalu tanpa sedar masa berjam-jam berlalu begitu pantas? Kadang-kadang, bukan kerana kita terlalu mendambakan secawan kopi, tetapi kerana suasana kafe itu sendiri seperti aroma kopi yang harum, bunyi perbualan pelanggan yang berselang-seli, dan alunan muzik latar yang sederhana. Semuanya bagaikan meniup semangat untuk terus bekerja. Maka timbul persoalan seperti mungkinkah kedai kopi sebenarnya sudah menjadi pejabat kedua buat kita?

Sejarahnya tidak asing. Sejak berabad-abad lalu, kopi berfungsi sebagai pemangkin pertemuan. Di Eropah abad ke-17, wujud istilah penny universities iaitu gelaran kepada kedai kopi yang menjadi medan perbincangan tentang politik, seni, malah ilmu pengetahuan, hanya dengan harga segelas kopi. Menurut kajian Ellis (2004), kopi dianggap sebagai medium “sociability”, iaitu sesuatu yang menghubungkan manusia melalui interaksi santai tetapi bermakna.

Fenomena itu jelas terlihat di Malaysia. Ungkapan “jom teh tarik” atau “jom kopi” bukanlah semata-mata ajakan minum, sebaliknya tanda persahabatan dan keakraban. Dari kopitiam klasik yang merakyat dengan meja bulat dan cawan bercorak bunga, sehinggalah ke kafe moden bergaya hipster dengan senarai menu yang kreatif, kopi tetap menjadi alasan paling mudah untuk kita berkumpul, berborak, dan menjalin hubungan.

Kalau ditanya, “Kenapa kita suka sangat minum kopi?”, jawapannya jarang sekali mudah. Ada yang kata kerana rasa uniknya, ada yang mahu kekal segar, ada pula yang sekadar suka ikut trend. Tetapi di sebalik secawan kopi itu, ada banyak lapisan makna bermula daripada sejarah, psikologi, hinggalah kepada budaya sosial masyarakat kita.

Kopi sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia. Seperti yang pernah disentuh dalam laporan Harian Metro bertajuk “Kenali Sejarah Kopi Tempatan”, kopi sampai ke tanah air kita melalui perdagangan kolonial, lalu berkembang menjadi minuman rakyat. Dari kopi kampung yang pekat dan pahit di warung hinggalah ke kopi moden yang berlapis buih susu di kafe urban, kopi tempatan terus hidup bersama masyarakat, menyesuaikan diri mengikut zaman.

Hari ini, kopi bukan sekadar soal kafein. Dari sudut kognitif, ia memberi ilusi tenaga dan tumpuan. Kandungan kafein menghalang adenosin, bahan kimia yang menyebabkan rasa mengantuk, lalu otak menjadi lebih fokus. Sebab itulah kopi sering dianggap “starter pack” untuk bekerja atau belajar. Ramai pelajar universiti misalnya, menjadikan kopi sebagai peneman setia semasa mengulangkaji, seolah-olah secawan kopi itu kunci untuk membuka pintu fokus dan kreativiti.

Tetapi kesannya tidak berhenti pada fungsi tubuh semata-mata. Kopi turut membentuk tabiat dan rutin. Ada yang tidak boleh memulakan hari tanpa kopi, kerana set minda mereka sudah terikat bahawa pagi tanpa kopi adalah pagi yang tidak sempurna. Dari sudut psikologi, ini dinamakan habit loop contohnya pagi sebagai pencetus, kopi sebagai tindakan, dan rasa segar sebagai ganjaran. Lama-kelamaan, ritual ini menjadi sebahagian daripada identiti harian, sama seperti mandi pagi atau membaca berita.

Di luar rumah, kopi pula menjadi medium sosial. Ia adalah alasan untuk berjumpa kawan, berbual kosong, atau sekadar duduk merenung masa. Warung kopi di kampung masih setia dengan fungsinya iaitu tempat gosip kecil, perbincangan politik tempatan, dan cerita rukun tetangga. Sementara itu, kafe moden pula berkembang sebagai ruang escapism untuk anak muda atau orang dewasa yang mencari ketenangan dengan suasana estetik, muzik lembut dan aroma biji kopi. Di sini, kopi menjadi pengalaman, bukan sekadar minuman.

Media sosial menambahkan satu lagi dimensi yang mana kopi sebagai simbol status dan gaya hidup. Gambar latte art yang cantik atau frappé berwarna-warni dikongsi di Instagram bukan sahaja menunjukkan apa yang kita minum, tetapi juga siapa kita. Generasi muda menjadikan kopi sebagai cara mengekspresikan diri, menampilkan imej urban, kreatif dan kontemporari. Dengan kata lain, secawan kopi kini memuatkan mesej sosial yang jauh lebih besar daripada sekadar minuman di tangan.

Namun menariknya, walaupun trend global mendominasi, kopi tradisional tetap ada tempat di hati masyarakat. Kopi kampung dengan rasa pekatnya masih dicari, menjadi penghubung nostalgia kepada generasi lama. Gabungan kopi moden dan kopi tradisi ini melahirkan budaya kopi yang unik di Malaysia di mana unsur globalisasi diserap tanpa menenggelamkan akar tempatan.

Maka, apabila kita melihat kopi di meja, ia bukan hanya cecair gelap dalam cawan. Ia adalah refleksi kognitif, tabiat, mind set dan budaya sosial. Kopi menjadi terapi minda, peneman rutin, simbol identiti, malah kadangkala alasan untuk kita melarikan diri seketika daripada tekanan hidup. Secawan kopi membawa seribu cerita melangkau tentang sejarah, tentang kita, dan tentang bagaimana sebuah minuman boleh mencorakkan cara kita berfikir, bersosial dan menjalani hidup.

Namun, di sebalik segala cerita indah tentang kopi, ada juga persoalan yang wajar kita renungkan. Adakah kopi benar-benar baik untuk kita, atau sekadar ilusi tenaga yang sementara? Adakah harga secawan kopi yang semakin mahal di kafe moden satu bentuk simbol status, atau hanya strategi pasaran yang pandai memanfaatkan budaya kita?

Atau mungkin minda kita sendiri sudah lama dieksploitasi oleh aroma, rasa dan ritual kopi sehingga kita merasakan hidup tidak lengkap tanpanya? Persoalan-persoalan ini tidak mempunyai jawapan mutlak, tetapi cukup untuk kita menyedari bahawa kopi bukan sahaja minuman malah ia adalah cermin kepada bagaimana manusia berfikir, beremosi dan bersosial.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MOHD YUSOF ZULKEFLINEW
Dr. Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
UiTM Shah Alam

DR IREEENA NASIHA IBNU
Dr Ireena Nasiha Ibnu
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
UiTM Shah Alam

MAT YUNUS BIN SABRI