
SHAH ALAM, 3 April – Balu dan tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut dirempuh pemandu mabuk di Klang layak terima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
- Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO sahkan allahyarham pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, layak terima bantuan kewangan berterusan.
- Balu akan menerima pencen bulanan sepanjang hayat; anak-anak disokong sehingga umur 21 atau tamat pengajian, jumlah sekitar RM2,888 sebulan.
- Waris turut diberi Faedah Pengurusan Mayat RM3,000; balu bersyukur dan fokus kepada kebajikan serta masa depan anak-anak.
- PERKESO menggesa majikan mendaftar pekerja dan melaksanakan caruman konsisten sebagai jaminan masa depan untuk pekerja, keluarga dan waris.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, allahyarham merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, sekali gus melayakkan waris menerima bantuan kewangan berterusan.
Beliau memaklumkan, balu akan menerima pencen bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak mendapat sokongan sehingga umur 21 tahun atau tamat pengajian, dengan jumlah sekitar RM2,888 sebulan.
Waris turut menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000.
Sementara itu, balu Allahyarham, Nor Nadia Abdul Majid ketika ditemui pemberita di kediamannya di Shah Alam memanjatkan kesyukuran ke atas bantuan yang diterima oleh PERKESO.
Perancangan untuk kebajikan dan masa depan anak-anak menjadi fokus beliau.
Bantuan tersebut bukan sahaja memberi kelegaan dari segi kewangan malah menjadi jaminan berterusan sepanjang hayat sekali gus meringankan beban yang ditanggung.
Allahyarham sangat bertanggungjawab, sentiasa mengutamakan kebajikan keluarga serta memastikan segala keperluan disediakan dengan sebaiknya,” tambah beliau lagi.
PERKESO menyeru para majikan agar memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab dengan memastikan setiap pekerja didaftarkan serta caruman dilaksanakan secara konsisten, kerana caruman bukan satu beban, sebaliknya merupakan jaminan masa depan untuk diri, keluarga dan waris.
Allahyarham Amirul Hafiz Omar maut dirempuh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan membeli barang keperluan sekolah anak-anak beliau.
Tertuduh, R. Saktygaanapathy didakwa atas dua pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.