Tiada unsur buli dalam kes pelajar jatuh bangunan sekolah di Sungai Petani – Polis

Datuk Adzli Abu Shah menunjukkan lokasi mangsa terjatuh dalam kejadian pada semalam (Isnin)/RTM

SUNGAI PETANI, 3 Mac- Siasatan awal mendapati tiada unsur buli dikaitkan dengan insiden seorang pelajar tingkatan lima terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di sini pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal tidak menemui unsur buli dalam kejadian pelajar jatuh dari tingkat tiga.
  • Mangsa OKU pendengaran dan autisme stabil, mengalami patah di beberapa anggota serta kecederaan paru-paru kiri.
  • Polis menjejaki saksi, menemu bual guru, dan menyiasat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata pemeriksaan awal bersama ibu bapa pelajar dan analisis kecederaan pada bahagian kiri badan mangsa adalah konsisten dengan insiden jatuh dari tempat tinggi.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pesakit autistik kini dilaporkan telah stabil tanpa kecederaan serius di kepala, namun mengalami patah tangan kiri, tulang selangka kiri, tulang punggung kiri dan kecederaan paru-paru kiri.

“Saya sendiri telah menemu bual beberapa guru — siasatan awal mendapati pada pagi 26 Februari lalu, pelajar ini telah ditegur kerana membawa telefon di sekolah.

“Punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam masa sama, beliau dimaklumkan bahawa mangsa mudah mengalami tantrum apabila ditegur, manakala sekolah tidak mempunyai kelas khas untuk pelajar OKU.

Pihaknya akan mengesan semua saksi termasuk pelajar bagi memastikan siasatan telus dan mengelakkan sebarang spekulasi.

Datuk Adzli berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Jelasnya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa jatuh pada pukul 7.58 pagi dan ditemui pekerja pembersihan seminit kemudian.