
IPOH, 24 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu, termasuk seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan penganugerahan kontrak kepada syarikat kroni.
- SPRM menahan reman dua individu termasuk pegawai kanan TLDM bagi siasatan rasuah berkaitan penganugerahan kontrak.
- Perintah reman tujuh hari dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sehingga 29 Januari 2026.
- Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat 2017–2020 melantik syarikat berkaitan untuk kerja di lokasi pegawai bertugas.
- Pegawai kanan disyaki miliki harta melebihi pendapatan dan akaun terima kira-kira RM2 juta daripada sumber diragui.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 Januari 2026 dikeluarkan oleh Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an, masing-masing seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Ipoh, pada Khamis.
Mereka dipercayai bersubahat sejak 2017 hingga 2020 dengan mengesyorkan serta melantik syarikat berkaitan untuk mendapatkan kerja-kerja di lokasi pegawai kanan berkenaan bertugas.
Siasatan awal turut mendapati pegawai kanan TLDM tersebut disyaki memiliki harta melebihi kemampuan pendapatan, termasuk lapan aset tak alih melibatkan tiga rumah, tiga rumah kedai serta dua buah hotel yang didaftarkan atas namanya.
Selain itu, SPRM turut mengesan kemasukan wang kira-kira RM2 juta daripada sumber yang diragui ke dalam akaun peribadi suspek serta dua akaun syarikat perhotelan miliknya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.