
NIBONG TEBAL, 25 Januari -Seorang tahanan reman yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini, Jumaat lepas, sedang dikesan menerusi Op Tutup.
- Seorang tahanan reman, S. Clemont, 47, melarikan diri dari Hospital Sungai Bakap memakai pakaian hospital biru putih.
- Tahanan ditahan reman bagi kes pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.
- Polis jalankan Op Tutup dan siasatan bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
- Orang awam diminta hubungi ASP Cheok Kian Soon atau IPD Seberang Perai Selatan untuk maklumat.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan berkata, suspek dikenali sebagai S. Clemont, 47, didapati melarikan diri sekitar 3.45 petang dengan memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.
Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu diterima daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.
“Ketika melarikan diri, suspek masih berada dalam tahanan reman bagi kes bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap. Suspek dibawa ke HSB pada 22 Jan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sawan,” katanya.
Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kelalaian penjawat awam yang menyebabkan seseorang melarikan diri daripada pengurungan sah, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan, iaitu melarikan diri daripada tahanan sah di sisi undang-undang.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Cheok Kian Soon, di talian 012-6193878 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di 04-5858222, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.