Penemuan rangka manusia: Dua beradik berdepan pertuduhan membunuh

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 4 Februari – Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, yang merupakan antara mangsa dalam penemuan enam rangka manusia, tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua beradik didakwa membunuh V. Thamil Selvan di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
  • Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
  • Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan jaminan; sebutan semula kes ditetapkan 6 April 2026.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, R. Utes, 36 tahun, dan adiknya R. Arasan, 32, di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh V. Thamil Selvan, yang ketika kejadian berumur 28 tahun.

Perbuatan dilakukan di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit, di Kangkar Pulai, Johor Bahru, antara jam 12.30 tengah malam hingga 4.00 pagi, pada 15 September tahun lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof serta Mohamad Isa Mohamad Basir.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 April 2026 untuk sebutan semula kes, sementara kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan jaminan sehingga keputusan seterusnya.

Terdahulu, pihak polis menemukan rangka enam individu termasuk lima sekeluarga, disyaki mangsa bunuh, di sebuah rumah terbakar dalam kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, pada 9 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, hasil bedah siasat mengesahkan sekurang-kurangnya seorang mangsa dewasa serta seorang mangsa kanak-kanak, setakat ini.