
SETIA ALAM, 4 April – Kewujudan penempatan haram warga asing yang dipercayai beroperasi lebih lima tahun berjaya dibongkarkan Jabatan Imigresen Negeri Selangor menerusi operasi bersepadu di tiga lokasi berasingan di sini pada Jumaat.
- Operasi memeriksa 365 individu; 214 ditahan kerana kesalahan berkaitan imigresen.
- Ditemui rumah kongsi masih didiami, lengkap bekalan elektrik dan air, tanpa aktiviti pembinaan.
- Individu tinggal melebihi tempoh dibenarkan; ada yang mencecah sehingga lima tahun; pihak berkuasa tempatan diminta bersihkan kawasan.
Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin mendedahkan, 365 individu diperiksa dengan 214 daripadanya ditahan.
Jelas beliau, operasi dilaksana hasil aduan awam, menemui beberapa rumah kongsi yang masih didiami, meskipun tiada aktiviti pembinaan di kawasan berkenaan.
Penempatan itu turut dilengkapi kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air.
“Kita syak mereka sudah lama menetap di situ sehingga menganggap kawasan itu seperti sebuah kampung.
Saya bimbang ia akan menjadi sebuah perkampungan haram. Kita juga percaya mereka bekerja di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi operasi.
Jelas beliau lagi, pihak berkuasa tempatan telah diminta mengambil tindakan segera membersihkan kawasan berkenaan.
Individu yang ditahan didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan dengan ada yang mencecah sehingga lima tahun.
Kesalahan lain yang dikesan adalah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.