
KEMAMAN, 13 Jun – Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan sejak Rabu lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan terapung di Sungai Air Puteh berhampiran Kampung Seberang Tayor, petang semalam.
- Mayat Mualim Johari, 38, ditemukan terapung tersangkut pada timbunan kayu kira-kira pukul 6 petang oleh penduduk kampung.
- Mangsa dipercayai terjatuh ketika memasang pukat dan dihanyutkan oleh arus deras.
- Anggota bomba dan polis menggunakan bot membawa mayat ke tebing; mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Mayat Mualim Johari, 38, ditemukan kira-kira pukul 6 petang dalam keadaan tersangkut pada timbunan kayu di tengah sungai oleh penduduk kampung.
Mangsa yang tinggal bersendirian dipercayai keluar memasang pukat di sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya pada petang Rabu sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baharu Cheneh bersama polis yang bergegas ke lokasi menggunakan bot untuk membawa mayat mangsa ke tebing sungai.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.