
SUNGAI PETANI, 21 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita lebih 12,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM34,000 dalam satu operasi bersepadu di Sungai Petani, Kedah, pada Isnin.
- Sita lebih 12,000 liter diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM34,000 dalam operasi bersepadu di Sungai Petani.
- Satu suspek lelaki lingkungan 20-an ditahan selepas serbuan ke atas lori dan stor storan haram.
- Barang rampasan termasuk lori, dua IBC dan peralatan, dianggarkan bernilai RM111,500; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, operasi bermula dengan serbuan ke atas sebuah lori yang sedang mengisi diesel bersubsidi ke dalam dua unit tangki kontena Intermediate Bulk Container (IBC) di sebuah stesen minyak di Sungai Petani.
“Hasil pemeriksaan seterusnya membawa kepada serbuan di sebuah stor di Kampung Permatang Gedong yang disyaki menjadi lokasi pengumpulan dan penyimpanan diesel subsidi secara tidak sah,” katanya.
Tambah beliau, operasi bersepadu tersebut dijalankan hasil maklumat risikan awam dan turut melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Kesemua diesel bersubsidi, sebuah lori, dua unit tangki kontena IBC serta peralatan berkaitan yang disita dianggarkan bernilai RM111,500.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.