
KOTA KINABALU, 2 April – Taktik penyelewengan diesel terbongkar apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai dengan tangki tambahan mengandungi kira-kira 200 liter bahan api disita dalam serbuan Op Tiris 4.0 di Beaufort pada Selasa.
- Serbuan KPDN dijalankan di stesen minyak hasil maklumat dan pemerhatian anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan.
- KPDN menyita kenderaan, minyak diesel dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Tindakan diambil terhadap pemandu dan pihak stesen minyak; pemandu dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan itu dijalankan di sebuah stesen minyak hasil maklumat serta pemerhatian anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi diesel di stesen berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort Julie Julhani berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu telah diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyelewengan bahan api bersubsidi.
“Susulan itu, pihak KPDN telah menyita kenderaan terbabit, minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan ke atas pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemandu kenderaan telah dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis. – BERNAMA