
KUANTAN, 2 MAC – Kertas siasatan kes penuntut universiti awam yang ditahan kerana memijak al-Quran dirujuk ke Jabatan Peguam Negara hari ini, bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.
- Kertas siasatan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan selanjutnya.
- 62 laporan diterima dan 43 percakapan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 AKM.
- Orang ramai dinasihat tidak membuat spekulasi; polis jamin siasatan telus, profesional dan tidak berkompromi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman menerusi satu kenyataan berkata, setakat ini, 62 laporan diterima dari seluruh negara dan 43 percakapan saksi sudah dirakam bagi membantu siasatan.
Kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Lelaki tersebut masih ditahan reman sehingga 3 Mac ini,” katanya.
Orang ramai dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
Tegasnya, pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil, serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara.