Kes Pemberian Khas Sabah: Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan pelaksanaan

Mahkamah Rayuan/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 April – Mahkamah Rayuan Malaysia hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kajian semula Pemberian Khas Sabah, sementara menunggu rayuan didengar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses rayuan diteruskan supaya tidak menjadi akademik, mengekalkan kedudukan semasa sehingga mahkamah membuat ketetapan.
  • Perintah penggantungan tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi mengenai peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C.
  • Rayuan mencabar dapatan Mahkamah Tinggi tentang penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan sejak 1974.

Keputusan itu membolehkan proses rayuan diteruskan tanpa menjadi akademik atau sia-sia, sekali gus mengekalkan kedudukan semasa sehingga mahkamah membuat ketetapan terhadap isu yang dibangkitkan.

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan, perintah penggantungan berkenaan tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkaitan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut, namun sebaliknya rayuan Kerajaan Persekutuan adalah terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi antara lain berkenaan beberapa isu melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Rayuan tersebut turut mencabar dapatan Mahkamah Tinggi yang menyimpulkan berlaku penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran kewajipan perlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak 1974.

Penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2024 sebelum ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan Pemberian Khas Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang kini menjadi fokus utama dalam prosiding rayuan.