Komander AKPS terselamat, kenderaan dinaiki ditembak

Foto RTM

BUKIT KAYU HITAM, 25 Februari – Kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • SAC Mohd Nasaruddin terselamat walaupun kereta Proton X70 ditembak dua das di bahagian pintu.
  • Suspek dua individu bertopeng menaiki motosikal melarikan diri selepas melepaskan tembakan.
  • Polis sedang menyiasat kemungkinan motif pembalasan oleh sindiket penyeludupan di sempadan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971; AKPS Bukit Kayu Hitam catat beberapa rampasan besar.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah bagaimanapun berkata, mangsa Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu.

Katanya, kereta dipandu pegawai kanan AKPS itu tembak oleh suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Mohd Nasaruddin yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

“Mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar ‘full face’.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Datuk Adzli, suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dan mangsa tidak mengalami kecederaan.

Sejurus kejadian, mangsa yang memandu seorang diri cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum mereka lolos ke kawasan perindustrian berhampiran.

Beliau berkata polis akan menyiasat daripada semua aspek dan tidak menolak kemungkinan ada ketidakpuasan hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.

“Ini mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati sindiket. Pihak polis juga banyak menangkap penyeludup dan migran yang berpusat di sini dan mangsa bertanggungjawab atas penugasan di kompleks ini (ICQS Bukit Kayu Hitam),” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang.

Datuk Adzli memaklumkan AKPS Bukit Kayu Hitam merekodkan banyak kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan ini, termasuk rampasan 100 tan beras dan daging babi.