Jurujual mengaku tidak bersalah tuduhan menyerupai perempuan

Mohd Lukman (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas pertuduhan berpakaian dan berkelakuan menyerupai perempuan.

KUALA TERENGGANU, 14 Januari – Seorang jurujual dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini atas pertuduhan berpakaian dan berkelakuan menyerupai perempuan, tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Lukman didakwa berpakaian dan berkelakuan menyerupai perempuan di tempat kerja pada 12 Mei tahun lalu.
  • Beliau mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
  • Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001.
  • Mahkamah benarkan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin dan sebutan semula kes pada 10 Februari.

Tertuduh, Mohd Lukman Mohamad Aludin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Hamidi Shafie.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memakai pakaian dan berkelakuan seperti perempuan di tempat kerjanya di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu pada pukul 4 petang, 12 Mei tahun lalu.

Mohd Lukman didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.