Jenazah anggota JPJ maut ketika bertugas selamat dikebumikan

Jenazah Mohd Azrul Rashid Yaakub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Height, Senawang

SEREMBAN, 16 Oktober – Jenazah Pembantu Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan, allahyarham Mohd Azrul Rashid Yaakub yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di susur keluar Senawang malam tadi, selamat dikebumikan pukul 3.50 petang di Tanah Perkuburan Forest Height, Senawang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan berlaku di Kilometer 256.1 Lebuhraya PLUS arah utara sekitar pukul 11.30 malam.
  • Perlanggaran membabitkan motoloader, motolori dan sebuah motojip JPJ selepas motolori hilang kawalan di lorong kecemasan.
  • Pemandu motojip berusia 42 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal di lokasi; penumpang 32 tahun turut parah.
  • Tiga mangsa cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Allahyarham berumur 42 tahun merupakan anak sulung daripada tiga orang beradik dan menyara ibu dan bapanya yang kini menetap di negeri Johor.

Ibunya Normah Parimin menyifatkan allahyarham sebagai seorang anak yang baik dan bertanggungjawab serta pernah meluahkan hasrat untuk membawa beliau tinggal bersama di Seremban.

“Semalam, saya memang berada di rumahnya. Sebelum Along pergi kerja, saya sudah solat. Along sempat bersalam dengan saya, tetapi dia tidak memandang wajah saya. Saya tanya, ‘Along, dah solat?’ Dia jawab, ‘Dah, mak. Along nak pergi dah.’

“Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan Along. Dia anak yang baik. Mak reda dengan pemergian Along. Mak halalkan susu mak, Along. Along anak yang baik”, katanya.

Terdahulu, seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan maut malam tadi dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 256.1 Lebuhraya Plus Arah Utara berhampiran dengan susur keluar tol Senawang.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu membabitkan sebuah motoloader, sebuah motolori dan sebuah motojip milik JPJ.

Siasatan awal mendapati, dua anggota JPJ Negeri Sembilan sedang memeriksa sebuah motoloader yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan sebelum sebuah motolori yang membawa barangan makanan kering hilang kawalan lalu merempuh motojip JPJ dan motoloader berkenaan.

Kejadian mengorbankan pemandu motojip berusia 42 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, penumpang motojip, 32 tahun pula mengalami kecederaan parah, serta pemandu motolori dan motoloader, masing-masing berusia 44 dan 48 tahun, cedera di bahagian kaki dan badan.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.