
BANDARAYA MELAKA, 2 April – Sijil halal sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka ditarik balik serta-merta. Ia selepas kilang berkenaan didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk membersihkan peralatan.
- JAIM mengesahkan isu dikesan menerusi pemeriksaan pada Januari lalu.
- Sampel dihantar ke MyHAC untuk analisis lanjut yang mengesahkan ciri bahan tidak halal.
- JAIM menasihatkan industri patuhi garis panduan halal dan menggalakkan pengguna pilih produk berlogo HALAL.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat ketika dihubungi RTM mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau menjelaskan, isu tersebut dikesan menerusi pemeriksaan JAIM pada Januari lalu. Berus tersebut kemudian dihantar ke MyHAC untuk analisis lanjut yang kemudiannya mengesahkan ciri bulu babi.
“Kita hendak nasihatkan ataupun mahu didik industri supaya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh bab penyimpanan serta bahan mentah yang halal, penggunaan bahan yang dilarang seperti bulu babi tidak dibenarkan. Yang keduanya kita mahu mendidik masyarakat, ketika memilih sesuatu produk, sekurang-kurangnya pilih produk yang ada logo HALAL,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan kepada pihak industri untuk sentiasa mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan.