Dua kejadian berasingan, SAR nelayan dan pelajar diteruskan

Operasi pencarian nelayan hilang di Pantai Sepat

KUANTAN, 4 April – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini bagi mengesan seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot miliknya ditemukan tanpa kelibat mangsa di pesisir Pantai Sepat, di sini, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Mohd Ishak Ismail, 63, dipercayai keluar mencandat sotong seorang diri pada 1 April dan tidak kembali seperti biasa.
  • Operasi SAR melibatkan enam anggota BBP Kuantan, dua BBP Peramu, bantuan Maritim, PDRM dan APM; pencarian fokus empat hingga lima kilometer.
  • Di Jerantut, dua pelajar SMK Jengka 24, masing-masing 14 tahun, dipercayai dihanyut arus; SAR hari kedua melibatkan BBP, PPDA dan penduduk.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Ishak Ismail, 63 tahun, dipercayai keluar seorang diri untuk mencandat sotong pada 1 April lalu kira-kira pukul 10 pagi.

“Kebiasaannya mangsa akan keluar dari Jeti Tanjung Api pada waktu pagi dan kembali berlabuh di jeti sama pada keesokan hari.

“Namun kali ini mangsa tidak pulang seperti kebiasaan sebelum bot miliknya ditemukan di kawasan pesisir Pantai Sepat tanpa kehadirannya,” katanya.

Operasi pencarian melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan serta dua anggota dari BBP Peramu.

Tambah Mohd Salahuddin, pencarian tertumpu di kawasan laut menghala ke Kampung Hijrah dalam lingkungan empat hingga lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba Pantai Sepat.

Operasi SAR turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu di Jerantut, operasi SAR turut diteruskan bagi mengesan dua pelajar yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Kampung Durian Hijau.

JBPM Pahang menerima laporan berhubung kejadian melibatkan Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, masing-masing berusia 14 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24, pada pukul 4.49 petang semalam.

Mohd Salahuddin berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua bermula pukul 7.50 pagi tadi melibatkan lima anggota dari BBP Jerantut serta enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin.

Menurutnya, operasi dibahagikan kepada beberapa sektor termasuk pencarian permukaan dalam radius 200 kaki dari lokasi kedua-dua mangsa dilaporkan tenggelam.

Operasi turut dibantu penduduk kampung dengan penggunaan sebuah bot fiber.

Operasi pencarian dua pelajar yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Kampung Durian Hijau