
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan, antaranya salah guna kuasa dan pecah amanah.
- Mohd Nizam Jaffar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
- Terdapat empat pertuduhan termasuk salah guna kuasa dan pecah amanah.
- SPRM mengemukakan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
- Siastan melibatkan TKAT, dakwaan rasuah dan penyalahgunaan dana perolehan pertahanan.
Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Mohd Nizam, 59, akan disebut di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada 9 pagi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu memaklumkan, Mohd Nizam akan didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ia susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam, selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di TKAT dan Kementerian Pertahanan.- BERNAMA