
BAYAN LEPAS, 22 Ogos – Kira-kira 45 unit tanduk haiwan disyaki hidupan liar dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), dalam cubaan penyeludupan pada 20 Ogos lalu.
- Rampasan dibuat selepas pemeriksaan bagasi penumpang warga Indonesia yang tiba dari Guangzhou menerusi penerbangan komersial.
- Barangan disyaki hidupan liar dibawa tanpa kebenaran atau dokumen sah.
- Rampasan dianggarkan bernilai RM5,000 dan diserahkan kepada PERHILITAN untuk siasatan lanjut.
- Perbuatan itu dianggap kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Rampasan bernilai RM5,000 itu dibuat hasil pemeriksaan bagasi seorang lelaki warga Indonesia berusia 57 tahun yang tiba dari Guangzhou, China menerusi penerbangan komersial.
Komander AKPS Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin berkata, pemeriksaan mendapati penumpang berkenaan membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah.
“Sebanyak 45 unit disyaki tanduk haiwan telah disita dengan anggaran nilai RM5,000.
“Kesemua barangan kes telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, perbuatan membawa barangan hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
