Tiga pegawai TUDM antara enam didakwa edar dadah guna aset tentera

Foto RTM

SHAH ALAM, 27 November – Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine melebihi 90 kilogram (kg).

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam tertuduh didakwa mengedar kira-kira 96.2 kg methamphetamine di Pangkalan Udara Subang pada malam 17 November.
  • Jika disabitkan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika terlepas hukuman mati.
  • Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh terdiri daripada Amir Ariffudin Aminullah, 33; Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27; Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28 dan Afifah Amdas, 34.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 96.2 kg di Pangkalan Udara Subang, pada malam 17 November.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya terlepas hukuman mati.

Prosiding di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar.

Empat tertuduh lelaki terbabit masing-masing diwakili peguam Arif Azmi, Muhammad Amin, Alif Ahmad Tarmizi dan Arif Rafin, manakala Nur Hanis Syafiqah serta Afifah tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.