12 PATI warga Myanmar bayar RM5,000 masuk Malaysia secara haram

12 PATI warga Myanmar ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk ke Malaysia secara haram/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 16 November – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai membayar sehingga RM5,000 seorang untuk memasuki Malaysia secara tidak sah melalui Sungai Golok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penahanan berlaku di kawasan ladang sawit Kubang Gadong, Pasir Mas kira-kira pukul 8 malam.
  • Seorang lelaki warga Thailand berusia 29 tahun ditahan disyaki tekong darat; telefon bimbit mengandungi gambar nombor akaun Maybank.
  • Tekong darat dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap PATI sebelum menyerahkan mereka kepada pengangkutan di Kampung Bakong.
  • Semasa intipan, dua lelaki disyaki tekong membawa parang dan sabit melarikan diri; seorang berjaya ditangkap bersama sebilah sabit.

Mereka berwarganegara Myanmar ditahan dalam operasi PGA di kawasan ladang sawit, Kubang Gadong, Pasir Mas, kira-kira pukul 8 malam semalam.

Turut ditahan seorang lelaki warga Thailand berusia 29 tahun yang disyaki berperanan sebagai tekong darat.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan berusia antara 18 hingga 36 tahun.

“Ketika anggota melakukan intipan dan pemerhatian, dua lelaki dipercayai tekong menghampiri pasukan sambil membawa senjata tajam jenis parang dan sabit sebelum melarikan diri.

“Tindakan mengejar berjaya menahan seorang daripada lelaki terbabit bersama sebilah sabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tekong darat yang ditahan dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap PATI sebelum menyerahkan mereka kepada pihak pengangkutan di sekitar Kampung Bakong.

12 PATI warga Myanmar ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk ke Malaysia secara haram/Foto PGA Briged Tenggara

Setiap PATI pula dikenakan bayaran sehingga RM5,000 seorang untuk memasuki Malaysia secara tidak sah.

Katanya, bayaran itu hanya perlu dijelaskan selepas mereka berjaya memasuki negara ini dan memperoleh pekerjaan.

Kesemua PATI dipercayai mengambil masa kira-kira tujuh hari untuk melakukan perjalanan dari Myanmar ke Thailand melalui jalan darat sebelum memasuki Malaysia menerusi Sungai Golok.

Pemeriksaan telefon bimbit lelaki warga Thailand itu turut menemukan gambar nombor akaun Maybank atas nama seorang individu yang dipercayai digunakan ejen di Thailand bagi urusan pembayaran upah.

Dalam operasi itu, PGA merampas sebilah sabit dan sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,050.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.