fb fb fb fb fb

Yang Dipertua PIBG didakwa cabul pelajar perempuan 16 tahun

Tertuduh, Zainoor Juma’at (memakai penutup mulut dan hidung, depan) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual ke atas pelajar perempuan berusia 16 tahun, Julai lalu.

MUAR, 22 Ogos- Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual ke atas pelajar perempuan berusia 16 tahun, Julai lalu.

Tertuduh, Zainoor Juma’at, 45, yang juga bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen di negeri ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bayani Mohd Nor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh bahagian punggung dan payudara kanak-kanak perempuan berkenaan bagi maksud seksual pada pukul 6 petang, 25 Julai lalu.

Perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan tertuduh di Kolam Renang Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Siti Aishah Mohd Rais.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

ZEHRA BINTI ZAMBRI