fb fb fb fb fb

Empat lelaki didakwa edar dadah seberat 59.5 kg

Kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 59.5 kg di sebuah pangsapuri, minggu lalu.

JOHOR BAHRU, 22 Ogos- Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 59.5 kilogram (kg), di sebuah pangsapuri di sini, minggu lalu.

Kesemua tertuduh Chu Chien Yaeh, 36; Lo Shaw Jie, 26;S. Jiveen, 39 dan Pui Wei Hao, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan berat kasar 59. 5 kilogram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Residensi Puncak, Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, Johor Bahru , pada pukul 12.30 tengah hari ,12 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tiada jaminan dibenarkan ke atas kesemua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 November depan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI