fb fb fb fb fb

Waris Allahyarham Nur Farah tiba di Jabatan Forensik, HSB pukul 11.10 pagi

Waris dan kenalan Allahyarham Nur Farah tiba di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pukul 11.10 pagi

SUNGAI BULOH, 18 Julai- Tinjauan RTM di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) mendapati waris dan kenalan Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah hadir di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada pukul 11.10 minit pagi.

Bagaimanapun pengamal media mula berkumpul sejak pukul 8.00 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan tuntutan jenazah graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Turut kelihatan van jenazah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan jenazah Allahyarham belum boleh dituntut.

Beliau menjelaskan, proses tuntutan jenazah hanya boleh dilakukan selepas keputusan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui yang mungkin memakan masa beberapa hari.

Abang mangsa Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun memaklumkan, pihaknya perlu menunggu keputusan ujian padanan DNA sebelum boleh menuntut jenazah mangsa.

Isnin lalu, mayat Nur Farah ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira pukul 6.00 petang.

Pemeriksaan awal mendapati mayat itu dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang disyaki teman lelaki kepada mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI