fb fb fb fb fb

Warga emas rugi RM1 juta diperdaya 'pegawai NSRC'

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Disember – Seorang wanita warga emas berputih mata apabila kerugian RM1,005,500 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berkata, mangsa berusia 63 tahun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya pegawai NSRC.

"Sindiket memaklumkan akaun bank mangsa kononnya terlibat dalam aktiviti penipuan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat beberapa bayaran bagi tujuan menyelesaikan kes berkenaan,” menurut kenyataan JSJK di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek sekali lagi meminta wang dimasukkan, sebelum mangsa tampil membuat laporan polis.

Sehubungan itu, JSJK mengingatkan orang ramai bahawa NSRC, polis atau mana-mana agensi penguat kuasa tidak akan menjalankan siasatan, mengugut penahanan, membekukan aset atas alasan penggubahan wang haram atau meminta bayaran melalui panggilan telefon.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat akaun, tidak mengikut sebarang arahan pemindahan wang, serta segera menghentikan panggilan dan membuat semakan terus dengan pihak berkuasa,” tambah JSJK.

Sebarang maklumat atau aduan berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada CCID Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.

GRACE AISYAH KEDAYAN