fb fb fb fb fb

Warga emas hilang simpanan RM120,000 kerana penipuan tiket loteri

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

SIBU, 8 November- Seorang lelaki warga emas dari Kanowit mengalami kerugian RM120,000 selepas menjadi mangsa penipuan tiket loteri bersemuka awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerusi satu kenyataan memaklumkan dalam laporan polis semalam, lelaki berumur lewat 70-an itu memberitahu beliau pada mulanya didatangi seorang lelaki dan dua perempuan tidak dikenali semasa berada di tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Kanowit.

“Suspek lelaki berkenaan memberitahu bahawa warga emas telah memenangi loteri dan salah seorang suspek perempuan kemudian meminta nombor akaun bank mangsa untuk digunakan bagi tujuan kemasukan wang kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Azman berkata warga emas itu diminta menyerahkan RM120,000 terlebih dahulu kepada mereka, sebelum wang kemenangan loteri itu dapat dimasukkan pada hari kemudiannya.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan akaun di sebuah institusi kewangan di Sibu beberapa hari kemudian, dan mendapati tiada kemasukan wang berjumlah RM300,000 seperti yang dijanjikan oleh ketiga-tiga suspek.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Jelas Mohd Azman, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sesuatu tawaran menarik dari mana-mana individu tidak dikenali.

"Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) dan sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE