fb fb fb fb fb

Dua lelaki tidak mengaku curi cip kasino RM4.6 juta

Koay Boan Seng, 32, dan Hoo Chee Chuan, 38, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini/ BERNAMA

BENTONG, 8 November- Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong atas tuduhan bersubahat mencuri cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta di pusat perjudian Genting Highlands.

Tertuduh, Koay Boan Seng, 32, dan Hoo Chee Chuang, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan, hari ini.

Mengikut fakta pertuduhan, mereka didakwa bersama dua lagi rakan masih bebas menceroboh bangunan dengan maksud mencuri 1,160 cip kasino bernilai RM4.6 juta milik Genting Highlands Berhad.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 7:12 pagi, 28 Oktober lalu di sebuah bilik , di Sky Kasino Genting Highlands.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala peguam Kenny Tan Cheng Yee mewakili kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes dan jaminan RM8,000 setiap seorang.

Semalam, media melaporkan polis menahan 10 suspek bagi membantu siasatan kes kehilangan cip kasino di pusat perjudian Genting Highlands.

Lima individu lagi termasuk bekas pekerja pusat perjudian terbabit disyaki dalang utama kes terbabit sedang diburu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI