fb fb fb fb fb

Kes gaduh penghantar makanan, kertas siasatan telah dilengkapkan - Polis

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 8 November - Kertas siasatan kes pergaduhan antara pengawal keselamatan dengan seorang penghantar makanan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, di sini telah dilengkapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kertas siasatan tersebut telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah serah semalam (Selasa) siasatan selesai, 23 orang saksi telah kita panggil termasuk penghantar barang dan pengawal keselamatan terlibat untuk kita siasat dan rakam keterangan, terserah kepada pihak pendakwa raya untuk keputusan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Pada Jumaat lepas, video pergaduhan antara dua individu berkenaan tular melalui media sosial dan siasatan polis mendapati ia berlaku pada 3.20 petang, 2 November lepas berpunca daripada salah faham.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN