fb fb fb fb fb

Siasatan 1MDB: Roger Ng beri kerjasama baik - Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

IPOH, 8 November- Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa memberi kerjasama baik sepanjang siasatan berkaitan pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia.

Selain itu pihaknya juga sedang mengesan aset lain yang mungkin berada di luar negara.

"Siasatan ke atas Roger Ng adalah satu siasatan berterusan yang dijalankan pegawai kita di JSJK dan Unit AMLA. Setakat ini Roger Ng beri kerjasama baik dan kita masih mengesan aset lain yang mungkin ada di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Pada 6 Oktober lalu,  media melaporkan Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB dan akan berdepan pertuduhan di negara ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI